Datuk Seri Mustapa Mohamed
Datuk Seri Mustapa Mohamed
BERNAMA

KERAJAAN menjangkakan lebih banyak perniagaan dibuka semula pada minggu depan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri dan menyambung semula tahap produktiviti penuh mereka dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ini akan memastikan kerja-kerja itu kekal kukuh dan perniagaan dapat beroperasi seperti biasa, sekali gus dapat menstabilkan ekonomi.

Beliau berkata Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan untuk mendapatkan maklum balas dan data masa nyata bagi pelan jangka pendek, sederhana dan panjang negara.

"Kami perlu memastikan perniagaan dapat memberi respons pantas berhubung keputusan yang dibuat oleh kerajaan," katanya dalam sesi webinar bertajuk "Mengembangkan Perniagaan Dalam Arus Gangguan (Growing Business Against the Tides of Disruptions) anjuran Le NouveauPro Sdn Bhd di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata kerajaan mengharungi cabaran dan memberi tumpuan untuk menyelesaikan masalah menerusi interaksi berkala dengan pelbagai pihak berkepentingan sambil memastikan pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan domestik terus berkembang selain meningkatkan keyakinan pengguna.

Mustapa berkata pelan jangka panjang negara dijangka diumumkan pada tiga hingga empat bulan akan datang berikutan agensi kerajaan pada masa ini sedang berusaha melaksanakan langkah-langkah menangani cabaran yang dihadapi oleh pelbagai sektor ekonomi.

Sementara itu, beliau berkata EAC sebagai badan pembuat keputusan ketika ini mengakui bahawa negara sedang dalam kemelesetan dan memerlukan pembaharuan struktur membabitkan sektor-sektor tertentu.

"Memandangkan kita dalam realiti baharu, kita mendapati sebahagian daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) telah memberikan maklum balas dengan menjadi digital sepenuhnya.

"Kita perlu mempertimbangkan perubahan ini dan menyertakannya dalam pelan jangka panjang kita," kata Mustapa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 6:05 PM