DR Wan Junaidi Tuanku Jaafar
DR Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) amat komited untuk memastikan inisiatif yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin (Prihatin Tambahan) dapat dinikmati dengan segera oleh usahawan disasarkan.

Bagi tujuan ini, Medac melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional mengenal pasti mekanisme pelaksanaan yang akan dilaksanakan untuk memastikan kelancaran pemberian insentif ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pemohon hanya perlu mengemukakan satu bulan penyata kewangan.

“Pemohon dalam senarai hitam Perbadanan Tabung Pinjaman Tinggi Pendidikan (PTPTN) boleh dipertimbangkan.

“Usahawan belum berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) layak memohon namun mereka perlu berdaftar dengan SSM sebelum pinjaman disalurkan,” katanya.

Sebarang maklumat lanjut, boleh menghubungi hotline Tekun, 03-9059 8888 atau layari laman web www.tekun.gov.my.

Dalam pakej Prihatin Tambahan yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, sejumlah RM200 juta disediakan kerajaan bagi pembiayaan Skim Kredit Mikro untuk membantu aliran tunai perniagaan usahawan dengan pemansuhan kadar faedah kepada 0 peratus daripada dua peratus sebelum ini.

Had maksimum pinjaman RM10,000 bagi setiap usahawan mikro yang layak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2020 @ 6:10 AM