WAN Zulkiflee Wan Ariffin (kiri) berucap ketika majlis pengumuman hasil kewangan Petronas di Kuala Lumpur City Centre (KLCC), semalam. FOTO Bernama
WAN Zulkiflee Wan Ariffin (kiri) berucap ketika majlis pengumuman hasil kewangan Petronas di Kuala Lumpur City Centre (KLCC), semalam. FOTO Bernama
Oleh Mahanum Abdul Aziz
bisnes@hmetro.com.my


PETROLIAM Nasional Berhad (PETRONAS) bercadang membayar dividen RM24 bilion kepada kerajaan tahun ini.

Pada tahun lalu syarikat minyak dan gas nasional itu sudah memberikan dividen berjumlah RM54 bilion kepada kerajaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, tahun lalu, dividen merangkumi dividen biasa RM24 bilion dan dividen khas RM30 bilion.

“Bagi tahun ini, kami bercadang memberikan dividen RM24 bilion,” katanya pada sidang media mengumumkan prestasi kewangan Petronas bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019, di sini, semalam.

Mengulas sama ada kemelut politik domestik ketika ini akan menjejaskan operasi Petronas, Wan Zulkiflee berkata, operasi perniagaannya berjalan seperti biasa.

Beliau menegaskan, syarikat minyak dan gas nasional itu terus menumpukan usaha dalam mengatasi cabaran mendatang.

Katanya, tahun ini, pihaknya memperuntukkan perbelanjaan modal RM26 bilion hingga RM28 bilion bagi operasi di Malaysia.

“Kami menyasarkan peningkatan lebih lima peratus dalam pengeluaran minyak dan gas domestik tahun ini.

“Kami juga akan memanfaatkan kedudukan Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) sebagai hab petrokimia bagi memenuhi permintaan untuk pasaran serantau,” katanya.

Sementara itu, Petronas mencatatkan keuntungan bersih RM40.5 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019, susut 27 peratus berbanding RM55.3 bilion yang diraih pada tahun sebelumnya.

Ia susulan pendapatan yang lebih rendah dan susut nilai bersih aset berjumlah RM7.3 bilion.

Dalam tempoh dikaji, pendapatannya susut 4.0 peratus kepada RM240.3 bilion berbanding RM251.0 bilion berikutan purata harga produk utama yang lebih rendah.

Pada 2019, purata harga minyak mentah adalah pada AS$64 setong berbanding AS$71 setong pada 2018.

Mengulas perkembangan itu, Wan Zulkiflee berkata, meskipun berdepan persekitaran industri yang mencabar, kedudukan syarikat minyak dan gas nasional itu masih kukuh dari segi operasi dan kewangannya.

Ia berikutan langkah disiplin fiskal dan kecemerlangan operasinya.

Beliau berkata, pelaksanaan strategi serampang tiga matanya menyokong pengukuhan Petronas sebagai syarikat tenaga bersepadu.

“Melangkah ke hadapan, ketidaktentuan pasaran dijangka berterusan, susulan masalah geopolitik, perang perdagangan berterusan serta gangguan permintaan susulan penularan Covid-19.

“Kami akan terus menumpukan kepada strategi pertumbuhan dan terus menyampaikan kecemerlangan operasi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Februari 2020 @ 6:20 AM