DR Syed Hussian Aljunid. FOTO Halimaton Saadiah
DR Syed Hussian Aljunid. FOTO Halimaton Saadiah

MEDIA Prima Berhad (Media Prima) mencatatkan peningkatan perolehan sebanyak 5.0 peratus kepada RM304.6 juta pada suku keempat berakhir 31 Disember 2019 (4QFY19) berbanding RM290.9 juta yang dicatatkan suku sama tahun sebelumnya.

Jika perkara luar biasa (EI) dilaporkan dalam kedua-dua suku dikecualikan, Media Prima akan merekodkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM9.7 juta dalam 4QFY19 berbanding kerugian selepas cukai (LAT) sebanyak RM38.5 juta pada 4QFY18.

Perkara luar biasa ini termasuklah pelaksanaan penstrukturan semula operasi dalaman pada 4QFY19, dan keuntungan sekali saja daripada urus niaga jual dan pajak semula pada 2018.

Cabaran dalam ekonomi dan industri terus memberi kesan kepada prestasi tahun kewangan penuh Kumpulan pada 2019 (FY19) di mana perolehan menurun sebanyak 7.0 peratus pada FY19 berbanding tahun sebelumnya, disumbangkan oleh perolehan rendah pengiklanan tradisional dan pengedaran yang menurun masing-masing sebanyak 11 peratus dan 12 peratus.

Sekiranya tiada perkara luar biasa, LAT Kumpulan boleh dikurangkan sebanyak 35 peratus kepada RM69.4 juta pada FY19 berbanding RM106.0 juta tahun sebelumnya.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Dr Syed Hussian Aljunid berkata, prestasi 4QFY19 memberikan keyakinan bahawa Media Prima berada dalam kedudukan kukuh untuk memasuki fasa seterusnya usaha transformasi yang dilaksanakan.

“Sebagai kumpulan media bersepadu, kami akan terus berinovasi bagi memenuhi keperluan audiens dan pengiklan yang semakin berkembang.

“Ini termasuk mengembangkan kehadiran digital, dan pada masa sama melaksanakan peluang perniagaan baharu dengan memanfaatkan aset sedia ada,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Sementara itu, Kumpulan turut mengumumkan ia sudah memuktamadkan fasa pertama pelan transformasi, Odyssey, yang bermula pada 2016.

Pelan itu digubal bagi menangani isu legasi dan teknologi baharu yang memberi kesan kepada perolehan dijana daripada perniagaan media tradisional.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Kamal Khalid berkata, pelaburan penting dalam Odyssey meletakkan Kumpulan untuk mempunyai asas kukuh bagi bersaing dalam persekitaran media yang berubah dengan pantas yang dipacu digital hari ini.

“Pelaksanaan proses rasionalisasi dan penstrukturan menjadikan kami syarikat yang lebih tangkas dalam melayari ketidaktentuan masa depan,” katanya.

“Kita bersedia menghadapi masa depan kerana mempunyai warga kerja yang bertenaga dan komited dalam menjadikan Media Prima sebagai syarikat peneraju media pertama-digital,” katanya.

Pada 2019, perolehan Odyssey mencecah RM318.0 juta, menyumbang kepada 29 peratus keseluruhan perolehan Kumpulan berbanding RM176.4 juta atau 15 peratus daripada jumlah keseluruhan perolehan pada 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Februari 2020 @ 6:05 AM