FOTO Imran Makhzan
FOTO Imran Makhzan

MODEL pembangunan bersepadu yang dilaksanakan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama kerajaan Terengganu berjaya meningkatkan keyakinan pelabur sehingga menarik pelaburan komited bernilai RM700 juta tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat berkata, pertumbuhan pesat sektor pertanian menjadi penyumbang utama prestasi pelaburan kukuh itu dengan merangkumi 54 peratus daripada keseluruhan pelaburan komited, diikuti sektor pembuatan (24 peratus) dan pelancongan (22 peratus).

“Aktiviti pelaburan rancak menjadi pemacu utama prestasi kukuh ekonomi Terengganu. Apa yang menarik mengenai prestasi ekonomi tahun lalu ialah sektor pertanian merekodkan pelaburan terbesar, bukannya sektor pembuatan mahupun pelancongan.

“Ini menunjukkan Terengganu kini menjadi destinasi pelaburan menarik untuk pelbagai sektor bagi pelabur domestik dan asing. Perkara ini, sekali gus memacu ekonomi tempatan menerusi pewujudan pekerjaan untuk rakyat dan peluang perniagaan bagi komuniti setempat,” katanya.

Terdahulu Baidzawi menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) bagi Wilayah Ekonomi Pantai Timur (Ecer) Terengganu yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini.

Mengikut rekod, Terengganu memperoleh pelaburan domestik dan asing bernilai RM34.7 bilion menerusi projek dan program ECERDC dari 2007 hingga 2019 yang mewujudkan lebih 34,000 peluang pekerjaan dan 3,700 peluang keusahawan untuk rakyat di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 7:20 AM