GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Bisnes HM

KAJIAN mengenai tenaga kerja tangkas mendapati 38 peratus daripada responden di Malaysia yang ketika ini pekerja sepenuh masa mencari peluang menceburi ekonomi gig dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Zurich Insurance Group dalam satu kenyataan berkata, peratusan itu lebih tinggi berbanding purata 20 peratus di peringkat global yang dicatatkan dalam kajian itu yang dilaksanakan Zurich, Smith School of Enterprise and the Environment di Universiti Oxford.

“Trend diperoleh daripada kajian itu menyokong saranan dalam Belanjawan 2020 ke arah aspirasi digital Malaysia dan melakar hala tuju ekonomi untuk menjadi kuasa digital. Ia selari dengan tumpuan negara untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dalam era ekonomi baharu dan digital seperti digariskan dalam belanjawan dibentangkan pada Oktober 2019.

“Malaysia sudah mengenal pasti ekonomi gig sebagai sumber baharu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif. Ekonomi gig dijangka akan disertakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) dan kerajaan ketika ini berada di peringkat awal untuk mengawal selia sektor itu demi kebajikan pekerja ekonomi gig,” katanya.

Zurich berkata, kajian itu mendapati pekerjaan secara sambilan menarik perhatian individu berikutan jadual yang fleksibel, kebebasan daripada majikan serta kawalan terhadap jadual dan beban kerja.

“Memandangkan ramai rakyat Malaysia terbabit dalam ekonomi gig, pemahaman yang rendah terhadap perlindungan pendapatan dan insurans akan menjadi faktor yang akan meningkatkan kebimbangan.

“Kumpulan yang bekerja sendiri ini juga terdedah kepada risiko pendapatan yang tidak menentu dan kehilangan sumber pendapatan apabila tidak dapat bekerja misalnya apabila kurang sihat atau kematian anggota keluarga,” katanya.

Ketua Zurich Malaysia Stephen Clark berkata, kajian itu usaha memahami dan memberi maklum balas kepada keperluan yang meningkat bagi melindungi tenaga kerja tangkas.

“Kami harap pihak industri bekerjasama dengan kami untuk menyediakan penyelesaian mampan dan selari dengan trajektori pekerjaan individu.

“Kami mempunyai visi agar semua rakyat Malaysia memiliki perlindungan tanpa mengira pekerjaan atau situasi. Sebagai syarikat yang mengambil berat, Zurich mahu berada di samping rakyat apabila diperlukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 6:20 AM