Sri Ayu Kartika Amri


KUALA LUMPUR: Dalam dunia yang semakin mencabar ini, hakikatnya masih ramai yang belum memiliki perlindungan asas dan beranggapan ia sesuatu yang membazir serta menambah beban perbelanjaan.

Nantilah, tunggu kewangan stabil dahulu. Itu yang kerap kali diucapkan oleh kebanyakan individu apabila didekati dan dipelawa untuk mengambil pakej perlindungan Takaful.

Namun, musibah termasuk kemalangan membabitkan kematian tidak dapat dijangka. Jadi bagaimana nasib keluarga yang ditinggalkan sekiranya wang simpanan sendiri juga tidak mencukupi?

Justeru, orang ramai perlu sedar kepentingan mengambil perlindungan dan cuba letakkan ia sebagai keutamaan.

Menyedari senario ini, FWD Takaful Berhad (dahulunya dikenali sebagai HSBC Amanah Takaful (Malaysia) Berhad) (FWD Takaful) komited menjadikan produk Takaful sebagai pilihan orang ramai yang mencari perlindungan komprehensif dengan harga berpatutan bukan sahaja untuk individu, tetapi juga keluarga.

Industri Takaful sebenarnya berada di Malaysia sejak lebih 30 tahun dulu dan terus berkembang dengan jumlah sumbangan bermula RM100 juta sehingga mencecah bilion ringgit pada hari ini.

Takaful adalah salah satu elemen penting dalam sistem kewangan Islam sesebuah negara.

Perkataan Takaful itu sendiri berasal daripada bahasa Arab yang ditakrifkan sebagai saling menjamin atau saling memelihara yang mana ahli kumpulan memeterai satu perjanjian bersama untuk sama-sama membantu ahli lain yang ditimpa sebarang musibah atau bencana.

Malah, pengendali Takaful mengumpulkan sumbangan daripada pesertanya untuk disalurkan ke dalam dana Takaful yang boleh digunakan bagi memastikan semua peserta dibantu apabila berada dalam kesukaran.

Ketua Pegawai Eksekutif FWD Takaful, Salim Majid Zain akui ramai menganggap Takaful hanya eksklusif untuk orang Islam, tetapi Takaful sebenarnya adalah satu bentuk perlindungan yang disediakan untuk semua tanpa mengira agama.

“Takaful wujud bukan untuk keuntungan, tetapi lebih bersifat sebagai perlindungan antara satu sama lain dalam kalangan ahlinya sebagai objektif utama.

“Dari segi pengawalan, Takaful lebih terjamin dan selamat malah, ia adalah perlindungan paling boleh dipercayai kerana dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia dan berdaftar di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013,” katanya.

Beliau berkata, tujuan Takaful sebenarnya adalah sama seperti insurans konvensional iaitu untuk melindungi orang ramai di mana bayaran premium atau sumbangan dibuat untuk menguruskan risiko peserta sekiranya dilanda malapetaka yang tidak dijangka.

Sumbangan ke dalam dana Takaful adalah untuk membantu mereka yang menghadapi situasi buruk manakala di bawah insurans konvensional, pemegang polisi membeli perlindungan untuk keselamatan kewangan peribadi dan risiko ditanggung sepenuhnya oleh syarikat insurans.

Di bawah Takaful, lebihan yang dijana daripada dana Takaful akan dikongsi antara peserta dan pengendali Takaful namun jumlah lebihan dana yang diterima oleh pengendali Takaful tidak boleh melebihi jumlah yang diberikan kepada peserta Takaful.

Manakala insurans konvensional pula, keuntungan daripada pelaburan akan diagihkan kepada pemegang polisi dan pemegang saham.

Memahami kepentingan untuk mendapatkan perlindungan serta-merta, FWD Takaful melancarkan saluran dalam talian yang memberi pelanggan pengalaman mesra pengguna dan melanggan Takaful pada harga berpatutan.

FWD Protect Direct adalah pelan Takaful yang dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian, melindungi sehingga empat ahli keluarga dalam satu sijil.

Salim berkata, pihaknya teruja dapat menawarkan pelan Takaful dalam talian sebagai usaha ke arah digitalisasi syarikat.

“Kami mahu memberi perbezaan positif kepada kehidupan rakyat di negara ini dengan produk perlindungan Takaful baharu kami.

“Dengan tawaran atas talian, ia membolehkan pelanggan memilih pelan Takaful mengikut kesesuaian kewangan. Malah, penyertaan dalam talian ini menggabungkan sistem pengunderaitan pintar,” katanya.

FWD Protect Direct ditawarkan dalam empat pilihan sijil iaitu individu, pasangan, keluarga (maksimum dua anak) dan ibu/bapa tunggal.

Ia ditawarkan pada harga mampu milik serendah 40 sen sehari untuk pelan individu dan RM1.20 bagi pelan keluarga dengan caruman tidak berubah sepanjang tempoh sijil perlindungan.

Pelanggan juga akan memperoleh perlindungan 24 jam selepas selesai permohonan dan sijil perlindungan akan dihantar terus ke e-mel pelanggan.

Selain itu, FWD Protect Direct juga menyediakan pengecualian sumbangan iaitu ahli keluarga yang tersenarai dalam sijil tidak perlu membayar caruman bulanan jika pemegang sijil meninggal dunia. Ini bagi memastikan perlindungan berterusan untuk seluruh keluarga.

Sama seperti tawaran kebanyakan produk FWD Takaful yang lain, FWD Protect Direct akan membayar manfaat untuk semua jenis punca kematian kecuali kematian disebabkan bunuh diri, perbuatan yang menyalahi undang-undang dan peperangan.

Bagi sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut mengenai pelan-pelan FWD Takaful, layari fwd.com.my atau hubungi talian 1300137988.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 6:42 AM