HUAWEI Mate 30 ditawarkan dalam tiga varian.
HUAWEI Mate 30 ditawarkan dalam tiga varian.
Syarifah Dayana Syed Bakri


MUNICH: Huawei memperkenalkan telefon pintar terbaharu daripada siri Mate iaitu Huawei Mate 30 yang dianggap telefon pintar terbaik dihasilkan Huawei setakat ini.

Ia bukan saja menampilkan ciri terbaharu kamera LEICA, malah turut menawarkan rekaan edisi Porsche melalui Huawei Mate 30 RS dengan prestasi mengagumkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perniagaan Pengguna Huawei, Richard Yu berkata, telefon pintar daripada siri Mate itu bukan saja menjanjikan prestasi terbaik, malah turut didatangkan dengan ciri terbaharu yang belum pernah ada dalam mana-mana telefon pintar di pasaran.

“Siri Mate 30 ini menyerlahkan potensi penuh telefon pintar. Ia direka untuk memberikan pengalaman pengguna yang tiada tandingan,” katanya pada majlis pelancaran global Huawei Mate 30 Series dengan motto Rethink Possibilities.

Menurutnya, beberapa ciri baharu ditampilkan bagi memberi pengalaman lebih baik khususnya dalam menghasilkan gambar dan video berkualiti tinggi.

“Menerusi keupayaan SuperSensing Triple Camera, Huawei Mate 30 dilengkapi kamera SuperSensing 40 Megapiksel (MP) dengan 16MP kamera Ultra Wide selain 8MP kamera Telephoto.

“Malah, Huawei Mate 30 Pro dilengkapi ciri lebih mengagumkan dengan keupayaan 40MP Cine Camera selain kamera 3D Depth Sensing yang membolehkan penghasilan bokeh masa nyata,” katanya.

YU menunjukkan telefon pintar siri Mate terbaharu Huawei Mate 30.
YU menunjukkan telefon pintar siri Mate terbaharu Huawei Mate 30.

Yu berkata, siri Mate 30 menawarkan paparan OLED Horizon Huawei 6.62 inci untuk Mate 30 dan 6.53 inci (Mate 30 Pro) selain dikuasakan Kirin 990 5G SoC pertama di dunia yang menggabungkan unit pemprosesan dan modem 5G dalam satu cip.

Ia turut menampilkan sistem operasi EMUI10 yang memberi paparan umpama reka letak majalah selain ciri Dark Mode untuk kegunaan waktu malam.

Lebih menarik, siri ini dilengkapi interaksi sentuhan apabila pengguna hanya perlu menggerakkan jari di bahagian tepi telefon pintar berkenaan untuk melaraskan bunyi.

Ia memberikan penggunaan lebih peribadi apabila ciri kawalan pergerakan Kecerdasan Buatan (AI) membolehkan interaksi skrin tanpa sentuhan selain ciri AI Auto-Rotate dan AI Private View.

Didatangkan dengan keupayaan bateri lebih baik iaitu 4,200 mAh untuk Mate 30 dan 4,500 mAh (Mate 30 Pro) kedua-dua telefon pintar berkenaan turut dilengkapi teknologi SuperCharge.

Siri terbaharu Huawei ini ditawarkan dalam tiga varian iaitu Huawei Mate 30, Huawei Mate 30 Pro dengan pilihan Mate 30 Pro 5G dan Huawei Mate 30 RS.

Ia ditawarkan dengan pilihan warna Emerald Green, Space Silver, Cosmic Purple, Black selain Forest Green dan Orange untuk koleksi kulit vegan.

Bagi pasaran di Eropah, harga ditawarkan untuk Huawei Mate 30 adalah 799 Euro (RM3,072), Huawei Mate 30 Pro (1,099 Euro atau RM5,092) dan Huawei Mate 30 RS (2,095 Euro atau RM9,706).

Ia ditawarkan mulai Oktober depan dan bagi pasaran Malaysia, ia diumumkan dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 September 2019 @ 11:00 AM