TUN Dr Mahathir (tengah) melancarkan buku coffee table 'Up Up and Ahead' pada majlis 'KLIA turns 21: A precious legacy' di KLIA, hari ini. FOTO: Bernama
TUN Dr Mahathir (tengah) melancarkan buku coffee table 'Up Up and Ahead' pada majlis 'KLIA turns 21: A precious legacy' di KLIA, hari ini. FOTO: Bernama
Syarifah Dayana Syed Bakri dan Siti A’isyah Sukaimi


LANGKAH memperkenalkan kereta nasional baharu adalah untuk merangsang industri kejuruteraan khususnya yang membabitkan teknologi terkini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, industri automotif sedang berubah daripada teknologi enjin berasaskan minyak kepada hibrid dan seterusnya elektrik yang mana Malaysia juga perlu melaksanakan perubahan berkenaan.

"Jadi jika kita mahu mempunyai kereta nasional ketiga, ia perlu dibangunkan sekurang-kurangnya berasaskan kepada teknologi hibrid.

"Ia seharusnya dipacu dengan penggunaan bateri dan perlu mempunyai enjin supaya boleh mengecas semula bateri berkenaan dan mampu bergerak sehingga 1,000 batu (1,600 kilometer) perjalanan. Kita sedang ke arah itu.

“Walaupun ada pihak yang mempertikaikan kenapa perlu satu lagi kereta nasional sedangkan Malaysia sudah ada kereta nasional, ini adalah kerana sektor automotif tidak statik sama seperti sektor penerbangan.

“Segalanya berubah dan berkembang, jika anda terlambat maka anda akan ketinggalan," katanya pada sidang media selepas majlis sambutan ulang tahun ke-21 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; Pengerusi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Tan Sri Dr Zainun Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Raja Azmi Raja Nazuddin.

Bertemakan KLIA Menjengah 21: Sebuah Legasi Berharga, MAHB akan mengadakan pameran menempatkan model skala asal Terminal Utama KLIA yang dicipta 25 tahun lalu oleh firma Jepun, Kisho Kurakawa Architect and Associates.

Baru-baru ini, Menteri Perdagangan Antrabangsa dan Industri, Darell Leiking mengumumkan DreamEDGE sebagai pembangun utama kereta nasional ketiga yang diilhamkan Dr Mahathir.

Penghasilan kereta nasional baharu itu mendapat kerjasama daripada Daihatsu Motor Company yang berpangkalan di Jepun bagi pembangunan bersama dan penyediaan teknologi.Kereta nasional baharu itu dijangka menggunakan model sedan segmen C dengan teknologi hibrid.

End

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Ogos 2019 @ 8:07 PM