TAMAN tema Twenty First Century Fox Inc dijangka tarik 30 juta pelawat setahun.
TAMAN tema Twenty First Century Fox Inc dijangka tarik 30 juta pelawat setahun.
Nurhayati Abllah


KUALA LUMPUR: Genting Malaysia Bhd (Genting Malaysia) bakal menjadi taman tema pertama di Asia menggunakan hak intelek Twenty First Century Fox Inc, sekali gus mengukuhkan operasinya di negara ini.

Genting Malaysia memeterai perjanjian untuk menyelesaikan pertikaian dengan Twenty First Century Fox dan The Walt Disney Company dengan semua pihak bersetuju untuk menolak semua tuntutan dan tuntutan balas.

Penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB), Racheal Hong Hui Chee berkata, taman tema itu akan dibuka dan beroperasi lebih awal daripada yang dijangkakan.

“Memandangkan kes itu diselesaikan, kami tidak menolak kemungkinan taman tema terbuka itu akan dibuka lebih awal daripada jangkaan.

“Kami merasakan bahawa taman tema terbuka itu hampir siap dan menjangkakan ia mampu dilancarkan sekitar 2020. Ini dapat dilihat daripada iklan pengambilan pekerja yang dilihat di beberapa akhbar tempatan sejak minggu lalu,” katanya dalam satu nota.

Hong berkata, apabila taman tema terbuka itu beroperasi sepenuhnya, beliau yakin ia memberi peluang kepada Genting Malaysia untuk mencapai sasaran pelawat 30 juta setahun.

Pada masa ini, taman tema itu merekodkan kedatangan 26.6 juta pengunjung bagi tahun kewangan 2020.

Dalam pada itu, beliau berkata, perkembangan itu boleh menjadi pemangkin yang baik bagi pemegang saham asing kembali dalam pasaran, memandangkan pegangan asing ke atas saham Genting Malaysia berada pada tahap terendah.

“HLIB kekal saranan ‘beli’ ke atas Genting Malaysia dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi sebanyak RM4.21,” katanya.

Pada November 2018, Genting Malaysia memfailkan tindakan undang-undang di Mahkamah Daerah Amerika Syarikat (AS) terhadap defendan (Fox Entertainment Group, Twentieth Century Fox, Twenty First Century Fox dan The Walt Disney Company) kerana tidak mahu meneruskan perjanjian untuk membina taman tema Fox World yang pertama di Malaysia.

Genting Malaysia memohon ganti rugi lebih AS$1 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Julai 2019 @ 8:51 AM