PROJEK kedi​aman terbaru daripada Glomac Berhad iaitu Cemara Sari di Saujana Perdana.
PROJEK kedi​aman terbaru daripada Glomac Berhad iaitu Cemara Sari di Saujana Perdana.
Sofyan Rizal Ishak

KUALA LUMPUR: Glomac Berhad (Glomac) merancang untuk melancarkan pelbagai produk dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM900 juta bagi tahun kewangan yang berakhir 30 April 2020 (FY2020).

Menurut kenyataan syarikat pemaju hartanah itu, projek yang dilancarkan bakal diteraju pangsapuri perkhidmatan dan pejabat kecil rumah pejabat (Soho) dikenali 121 Residences yang terletak di Petaling Jaya-Damansara dengan GDV bernilai RM321 juta.

“Pembangunan lain yang bakal dilancarkan termasuk pangsapuri perkhidmatan, pangsapuri mampu milik dan kawasan komersial di Lakeside Residences, Puchong dan fasa baharu kediaman bertanah di Saujana KLIA, Saujana Perdana dan Saujana Jaya di Kulai, Johor,” katanya.

Syarikat itu berkata, persekitaran pasaran secara keseluruhan dijangka terus mencabar namun lembaran imbangan Kumpulan masih teguh dengan tahap hutang berpatutan dan rancangan memajukan projek pembangunan berpotensi dengan GDV RM8 bilion.

“Ini akan meletakkan Kumpulan pada kedudukan yang kukuh untuk mempercepatkan pelancaran jika keadaan pasaran bertambah baik,” katanya.

Sementara itu, Glomac mengumumkan keputusan belum diaudit bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2019 (FY2019) yang menyaksikan Kumpulan itu mencatatkan hasil RM273.3 juta dengan sebahagian besar dipacu melalui kutipan bil kemajuan kerja kukuh daripada Saujana Perdana yang terletak di Bandar Saujana Utama.

Kumpulan juga mencatatkan jualan baharu RM323 juta pada tahun kewangan terbabit di mana pencapaian jualan yang jauh lebih tinggi itu dipacu terutamanya oleh permintaan pasaran kukuh bagi Plaza @ Kelana Jaya dan prestasi jualan mantap daripada fasa baharu yang dilancarkan di pembangunan bandar sedia ada.

“Jualan yang kukuh pada tahun kewangan kali ini juga meningkatkan jualan belum dibil ke tahap RM476 juta setakat 30 April 2019,” katanya.

Di samping jualan Kumpulan yang memberangsangkan, usaha untuk menggiatkan Glo Damansara Mall membuahkan hasil apabila penyewa utama baharu menandatangani pajakan jangka panjang yang meningkatkan kadar sewaan kepada 74 peratus.

Antara penyewa baharu ialah pasar raya tempatan Jaya Grocer dan kafenya, Bonjour Garden café serta Samanea Malaysia oleh Lessohome.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 8:18 AM