PROJEK  You City III di Cheras. FOTO Hafiz Sohaimi
PROJEK You City III di Cheras. FOTO Hafiz Sohaimi
Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: OSK Holdings Berhad (OSK) memiliki jualan belum dibilkan berjumlah RM1.53 bilion setakat 31 Mac tahun ini dengan jumlah rumah siap belum dijual pada kadar minimal dipacu usaha penjualan secara berterusan.

Syarikat itu dalam kenyataan berkata, kumpulan juga ketika ini mempunyai bank tanah seluas 700 hektar dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM11.3 bilion di sekitar Lembah Klang, Sungai Petani, Butterworth, Kuantan dan Seremban serta Melbourne, Australia.

Syarikat itu berkata, prestasi Bahagian Pembangunan Hartanah juga terus diterajui oleh jualan dan pengebilan berperingkat dari projek yang sedang dijalankan.

Antaranya termasuk projek Ryan & Miho di Seksyen 13, Petaling Jaya iaitu Menara 1 dan Menara 2 serta Fasa 1 dan Fasa 2 bagi projek Pastura dan Astera di perbandaran Iringan Bayu di Seremban dengan GDV gabungan RM1 bilion.

Segmen pembangunan hartanah juga dipacu projek yang dijangka siap pada tahun kewangan 2019 seperti projek Windmill, TimurBay dan Luminari yang mencapai kadar pengambilan baik.

Selain itu, projek Melbourne Square di Australia turut merekodkan kadar pengambilan memberangsangkan iaitu melebihi 65 peratus sejak ia dilancarkan dan kerja pembinaan berjalan seperti dijadualkan.

“Tahun kewangan 2019 bakal menyaksikan keuntungan pertama dari projek Melbourne Square apabila ia siap sepenuhnya,” katanya.

Bahagian Pembangunan Hartanah juga bakal menjadi kukuh dengan pelancaran tiga projek baharu di Cheras, Sungai Petani dan Seremban dengan GDV berjumlah RM955 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2019 @ 8:13 AM