KAKITANGAN  menyediakan mikrofon untuk sidang media Huawei berkenaan  proses untuk mencabar Perlembagaan Seksyen 889 Akta Kebenaran Pertahanan Kebangsaan (NDAA 2019) di Shenzhen, Guangdong, China. FOTO REUTERS
KAKITANGAN menyediakan mikrofon untuk sidang media Huawei berkenaan proses untuk mencabar Perlembagaan Seksyen 889 Akta Kebenaran Pertahanan Kebangsaan (NDAA 2019) di Shenzhen, Guangdong, China. FOTO REUTERS
hmdigital

KUALA LUMPUR: Huawei Technologies Co Ltd (Huawei) mengambil langkah baharu dalam memerangi sekatan Amerika Syarikat (AS) dengan menfailkan usul untuk ringkasan penghakiman dalam kes mahkamahnya.

Huawei dalam kenyataan berkata, tindakan berkenaan adalah untuk mempercepatkan proses bagi menghentikan tindakan yang dikenakan ke atas syarikat itu.

Katanya, pada 29 Mei, Huawei mengumumkan syarikat itu telah menfailkan usul bagi ringkasan penghakiman sebagai sebahagian daripada proses untuk mencabar Perlembagaan Seksyen 889 Akta Kebenaran Pertahanan Kebangsaan (NDAA 2019).

“Kami turut menggesa kerajaan AS untuk menghentikan kempen negara yang mengenakan sekatan terhadap Huawei kerana mengatakan ia tidak mempunyai keselamatan siber,” katanya.

Ketua Pegawai Perundangan Huawei, Song Liuping berkata, mereka memberikan persepsi yang salah mengenai keselamatan dan mengalih perhatian daripada cabaran sebenar yang syarikat ini sedang hadapi.

“Ahli politik di AS kini menggunakan kekuatan seluruh negara untuk menentang syarikat swasta dan perkara ini tidak normal dan tidak pernah dilihat dalam sejarah.

“Kerajaan AS juga tidak menyediakan bukti untuk menunjukkan bahawa Huawei memberi ancaman keselamatan. Tiada senjata, ia hanyalah spekulasi,” katanya.

Sementara itu, menurut Huawei Central, Huawei turut mengesahkan pihaknya akan melancarkan sistem operasi yang dikenali sebagai Hongmeng pada penghujung tahun ini atau 2020.

Malah, syarikat itu juga memberi pengesahan bahawa pihaknya kini sedang mempersiapkan ‘Pelan B’ bagi melancarkan sistem operasi yang berkemungkinan boleh didapati dalam dua versi berbeza untuk pasaran domestik dan global.

Syarikat berpangkalan di China itu juga didapati memohon nama baharu bagi tanda dagangan pada 24 Mei lalu dengan Pejabat Harta Intelek Kesatuan Eropah (EUIPO) untuk sistem operasi Huawei ARK OS.

Selain itu, Huawei turut menfailkan permohonan tanda dagang untuk Huawei ARK OS di Pejabat Tanda Dagang dan Paten Jerman (DPMA) pada tarikh sama ia difailkan di EUIPO.

Daripada apa yang berlaku ketika ini, Huawei ARK OS berkemungkinan menjadi nama baharu bagi sistem operasi terbaharu Huawei yang akan berfungsi di seluruh dunia kecuali China.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 8:17 AM