ANTHONY (kiri) dan Tony ketika melancarkan AirAsia menawarkan tambang rendah sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Pesta Menuai di AirAsia RedQ, KLIA. FOTO: Ahmad Irham Mohd Noor
ANTHONY (kiri) dan Tony ketika melancarkan AirAsia menawarkan tambang rendah sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Pesta Menuai di AirAsia RedQ, KLIA. FOTO: Ahmad Irham Mohd Noor
Mohd Husni Mohd Noor


AIRASIA menawarkan tambang rendah tetap bermula RM99 hingga RM199 bagi perjalanan dari Kuala Lumpur ke Alor Setar, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Johor Bahru bermula 31 Mei hingga 31 Jun ini sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Pesta Menuai.

Tambang rendah tetap itu ditawarkan bagi penerbangan lewat malam saja membabitkan tambahan 38,916 tempat duduk daripada keseluruhan 115,000 tempat duduk yang ditawarkan sepanjang musim perayaan berkenaan.

Bagi perjalanan ke Alor Setar, Kota Bharu, Kuala Terengganu dan Johor Bahru, tambang dikenakan adalah RM99 manakala, ke Sarawak pula adalah RM149 dan ke Sabah (RM199).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, sebelum ini, pihaknya menyediakan 78,000 tempat duduk tambahan bagi musim perayaan berkenaan.

Beliau berkata, tawaran tambang rendah tetap itu turut membabitkan perjalanan dari Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak bagi penumpang yang menyambut Pesta Menuai.

“Pada masa sama, kami juga menawarkan tambang rendah untuk beberapa laluan terpilih ke Sabah dan Sarawak bagi perjalanan antara 27 hingga 30 Mei ini,” katanya pada sidang media khas pengumuman khas penerbangan lewat AirAsia di Sepang, hari ini. Majlis turut dihadiri Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Katanya, pihaknya berterima kasih atas sokongan kerajaan kerana membantu bagi mendapatkan kelulusan bagi penerbangan tambahan berkenaan.

Dalam pada itu, Anthony berkata, pihaknya berbesar hati kerana AirAsia meningkatkan kekerapan penerbangan pada musim perayaan bagi memastikan harga tiket lebih kompetitif dan rendah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 5:53 PM