ZULFIKRI Osman. FOTO Aizuddin
ZULFIKRI Osman. FOTO Aizuddin
Sri Ayu Kartika Amri


KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) bersedia memperkasa usahawan tempatan dengan memberi tumpuan kepada lima industri utama tahun ini iaitu automotif, makanan dan minuman (F&B), gaya hidup, perkhidmatan dan pembinaan.

Timbalan Ketua Pengarah Keusahawanan Mara, Datuk Zulfikri Osman berkata, lebih 50 peratus daripada usahawan yang menerima pembiayaan Mara terbabit dalam sektor pembinaan.

Katanya, tahun ini Mara memperuntukkan pembiayaan lebih RM300 juta yang boleh dimanfaatkan 25,754 usahawan bagi mengembangkan perniagaan mereka.

“Setakat Mac 2019, 20 peratus daripada RM300 juta terbabit disalurkan kepada usahawan.

“Mara tidak hanya memberi kemudahan kewangan kepada usahawan kecil dan sedarhana besar, malah menyediakan fasiliti sokongan seperti premis perniagaan di seluruh negara termasuk lot untuk perniagaan dan kilang serta khidmat nasihat.

“Mara juga antara agensi mudah diakses kerana kami ada 117 pejabat Mara daerah dan usahawan tidak perlu ke pejabat Mara negeri untuk mendapatkan khidmat nasihat,” katanya kepada Bisnes Metro.

Beliau berkata, Mara komited memperkasa usahawan tempatan menerusi ekosistem komprehensif ditawarkan agensinya.

Menurutnya, Mara satu-satunya agensi yang mempunyai ekosistem paling lengkap dalam pembangunan keusahawan.

“Ini kerana ada agensi yang hanya memberi latihan tetapi tidak pembiayaan, namun Mara lengkap dari segi latihannya, pembangunan perniagaan, fasiliti sokongan yang merangkumi pinjaman, premis perniagaan dan khidmat nasihat di setiap pejabat daerah.

“Kami menyediakan ekosistem kerana Mara dipertanggungjawabkan untuk membangunkan masyarakat luar bandar dan sebagai sebuah agensi kerajaan kami perlu menjadi dinamik apabila Mara perlu menyesuaikannya dalam semua keadaan bergantung kepada keperluan masyarakat itu sendiri,” katanya.

Zulfikri berkata, tahun ini juga pihaknya mengharapkan lebih ramai usahawan yang menerima pinjaman Mara terus komited membuat bayaran semula.

“Nasihat saya bagi mereka yang ingin menceburi bidang keusahawan perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan dapatkan khidmat nasihat daripada pakar industri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 10:00 AM