JEFF Bezos
JEFF Bezos
Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: Bidang teknologi terbukti menjadi sektor perniagaan yang dapat memberi pulangan tinggi apabila kebanyakan bilionair dunia terdiri daripada individu yang mengasas atau mengendalikan syarikat dalam industri terbabit.

Forbes menerusi Senarai Bilionair 30 Teratas bagi bidang teknologi untuk 2018 menyenaraikan beberapa individu yang berjaya mencipta kekayaan hasil dari kerja keras dalam bidang teknologi.

Antaranya termasuk Jeff Bezos, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Amazon.com dan berasal dari Amerika Syarikat (AS) yang mencatatkan kekayaan bernilai AS$140 bilion (RM578 bilion).

Bezos mendahului senarai itu bagi kategori bilionair teknologi dan apa yang luar biasa, beliau turut menduduki tempat yang sama bagi senarai terkaya di dunia pada 2018.

BILL Gates
BILL Gates

Pesaing terdekatnya, Bill Gates yang menduduki tangga kedua mempunyai empayar syarikat perisian, Microsoft dengan kekayaan AS$96.4 bilion (RM398 bilion) manakala Larry Ellison, di tempat ketiga adalah pengasas Oracle dengan nilai kekayaan mencecah AS$59.9 bilion (RM248 bilion) yang mana masing-masing berada di tempat kedua dan ketujuh dalam senarai terkaya keseluruhan.

Sementara itu, pengasas bersama, Pengerusi dan CEO Facebook Mark Zuckerberg berada di tempat keempat dalam senarai sama dengan nilai kekayaan AS$56 bilion (RM232 bilion) serta kelapan dalam senarai terkaya dunia.

Seterusnya, Larry Page dan Sergey Brin masing-masing sebagai CEO (kelima) dan Presiden (keenam) bagi syarikat gergasi Alphabet, syarikat induk kepada Google merekodkan kekayaan masing-masing pada nilai AS$51 bilion (RM211 bilion) dan AS$49.7 bilion (RM206 bilion) serta dalam kedudukan terkaya di tempat kesembilan dan ke-10.

LARRY Ellison
LARRY Ellison

Berada di kedudukan ketujuh hingga ke-10 adalah Steve Ballmer, pemilik Los Angeles Clippers (AS$42.1 bilion atau RM174 bilion), Ma Huateng, Pengerusi Tencent Holdings (AS$37.8 bilion atau RM156), Jack Ma, pengasas syarikat e-dagang Alibaba (AS$35.9 bilion atau RM148 bilion) dan Michael Dell pula adalah pengerusi Dell dengan kekayaan berjumlah AS$31 bilion (RM128 bilion).

Senarai 30 Teratas Bilionair dalam sektor teknologi itu turut disertai oleh individu dari perniagaan seperti Netease (permainan atas talian), Baidu (enjin carian popular), eBay (lelong atas talian), SAS Institute (firma perisian), Kleiner Perkins Caufield & Byers (firma modal teroka) dan Xiaomi (telefon pintar).

MARK Zuckerberg
MARK Zuckerberg

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 3:27 PM