KAKITANGAN AmBank, Yasmin Raihan menunjukkan laman sesawang AmOnline Digital.
KAKITANGAN AmBank, Yasmin Raihan menunjukkan laman sesawang AmOnline Digital.
Syarifah Dayana Syed Bakri


KUALA LUMPUR: Pelanggan AmBank kini boleh memindahkan wang secara pantas dan selamat dengan hanya memasukkan nombor telefon mudah alih penerima menerusi perkhidmatan yang ditawarkan Payments Network Malaysia Sdn Bhd iaitu DuitNow.

Ketua Pegawai Operasi AMMB Holdings Bhd (AmBank Group) Datuk Iswaraan Suppiah berkata, pelanggan yang berminat hanya perlu melakukan pendaftaran mudah di platform perbankan Internet AmBank, AmOnline bagi pautan nombor telefon mereka dengan akaun bank.

Pelanggan juga boleh memilih untuk menggunakan nombor MyKad atau MyPR, pengenalan tentera atau polis, pasport atau nombor pendaftaran perniagaan bagi tujuan pautan dengan akaun bank bagi menerima wang.

“DuitNow menyediakan perkhidmatan yang mudah, cekap dan kami telah merekanya untuk dimasukkan ke dalam AmOnline dengan ciri-ciri yang lebih mudah difahami dan digunakan pelanggan.

“Kami turut memperkenalkan ciri-ciri nilai tambah baru dalam platform perbankan itu bagi memberi pengalaman perbankan dalam talian yang lebih cekap lagi,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, pelanggan juga boleh menggunakan kad itu sejurus pendaftaran dilakukan.

Malah, aplikasi mudah alih AmOnline itu juga dapat diakses 24 jam sehari, tujuh hari seminggu serta dilengkapi fungsi akses pantas bagi kemudahan pelanggan mengakses akaun masing-masing.

Menurutnya, pelanggan juga boleh memeriksa baki akaun menerusi telefon pintar dengan memanfaatkan sistem pengecaman wajah, Face ID atau menggunakan Touch ID iaitu ciri pengecaman cap jari.

Selain itu, aplikasi perbankan mudah alih AmOnline itu kini dilengkapi dengan AMY – pembantu perkhidmatan kewangan pelanggan secara maya yang pertama seumpamanya di negara ini dan ditawarkan dalam bahasa Inggeris, Melayu dan Cina bagi menangani semua pertanyaan berkaitan kad kredit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 6:30 AM