Syarifah Dayana Syed Bakri


GRAB mencatatkan jumlah penghantaran lebih tinggi pada malam tahun baru bagi lapan pusat bandar di Asia Tenggara meliputi perjalanan penumpang melalui Grab dan tempahan makanan melalui GrabFood.

Grab dalam kenyataan berkata, pada malam menjelang 1 Januari lalu, 31,465 perjalanan direkodkan di Lembah Klang, Singapura, Jakarta, Phnom Penh, Metro Manila, Yangon, Hanoi dan Bangkok dengan anggaran 63,000 penumpang menggunakan perkhidmatan Grab pada malam berkenaan.

Waktu popular pengambilan penumpang adalah sekitar jam 10 hingga 11 malam dengan penghantaran pulang sekitar jam 1 hingga 2 pagi.

Di Lembah Klang, lokasi popular menurunkan penumpang adalah di Suria KLCC/Menara Berkembar Petronas, Pavilion dan Sunway Pyramid.

Pada malam berkenaan juga menyaksikan pemandu Grab di Lembah Klang bekerja lebih masa dengan peningkatan jumlah penghantaran di mana terdapat pemandu yang membuat sehingga 26 perjalanan hanya pada satu malam bermula jam 5 petang hingga tengah malam 31 Disember 2018.

Selain Lembah Klang, pemandu Grab di Manila, Bangkok dan Hanoi turut merekodkan jumlah perjalanan yang tinggi.

Ia berikutan lebih 70,000 penumpang di semua bandar raya ini mengambil lebih dua kali perjalanan dengan Grab antara 9 malam hingga 3 pagi.

Dalam pada itu, GrabFood turut mencatatkan rekod tersendiri pada malam tahun baru di mana tempahan yang diterima meningkat sehingga 7.1 kali ganda berbanding hari biasa.

Makanan yang popular dalam senarai tempahan GrabFood di sekitar Lembah Klang adalah teh buih, sate dan Prosperity Burger McDonald’s.

Selain itu, GrabFood turut mencatatkan satu tempahan tertinggi berjumlah RM291 pada malam berkenaan.

Bagi pasaran negara lain, GrabFood mencatatkan peningkatan ketara bagi tempahan di Yangon, Phnom Penh dan Bangkok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 2:18 PM