Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: Pencapaian sektor e- dagang di Malaysia terus mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan khususnya pada tempoh Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berkadar sifar pada 1 Jun hingga 31 Ogos lalu.

Menurut tinjauan oleh iPrice Group, penyedia perbandingan produk dan harga di Asia Tenggara, berdasarkan corak carian di Google, selain tempoh itu, transaksi e-dagang mencapai kemuncaknya pada Singles’ Day, 12.12 Sale, jualan ulang tahun dan Aidilfitri.

Ketua Kandungan Pemasaran iPrice Malaysia, Jeremy Chew berkata, jualan pada Singles’ Day turut memperoleh minat yang tinggi pada 2018 berbanding tahun lalu berikutan terdapat peningkatan pelaburan dari pelbagai pemain industri e-dagang.

“Banyak peserta e-dagang melancarkan pelbagai aktiviti dalam dan luar talian bagi menarik lebih banyak pengguna untuk bersama membeli-belah pada festival jualan ini.

“2018 juga menyaksikan pertambahan peserta jualan ulang tahun yang dimulakan oleh Lazada, yang mana ia menjadi ikutan lain seperti Shopee.

“Antara acara yang meraih capaian tinggi dalam e-dagang ini adalah semasa GST berkadar sifar mulai 1 Jun lalu serta jualan Hari Raya yang mendapat perhatian ramai pembeli,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darrell Leiking sebelum ini berkata, e-dagang menyumbang RM86.5 bilion kepada ekonomi pada 2017 dengan kadar pertumbuhan tahunan 12.5 peratus.

Selain itu, Google turut meramalkan sektor ini akan berkembang lebih pantas dengan nilai dagangan kasar (GMV) mencecah RM426 bilion menjelang 2025.

Mengulas mengenai tinjauan itu, Jeremy berkata, platform e-dagang paling banyak dilawati di desktop dan laman web mudah alih adalah Lelong dan Hermo.

“Lelong adalah platform e-dagang keempat paling banyak dilawati selepas Lazada, Shopee dan 11street dengan purata lima juta pelawat pada 2018,” katanya.

Selain itu, lima platform e-dagang teratas di Malaysia hanya menunjukkan penurunan pada 9 Mei lalu semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) apabila orang ramai memberi laluan untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Disember 2018 @ 5:00 PM