TAJUDDIN
TAJUDDIN
Bisnes NSTP

Kuala Lumpur: Bursa Malaysia mengumumkan persaraan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Seri Tajuddin Atan yang akan berkuat kuasa pada 11 Februari tahun depan.

Bursa dalam kenyataan berkata, syarikat itu menamakan Datuk Muhamad Umar Swift sebagai pengganti Tajuddin.

“Keputusan yang dibuat oleh lembaga pengarah ini sejajar dengan pelaksanaan pelan penggantian kepimpinan yang teguh bagi memastikan peralihan itu dalam kedudukan terbaik bagi semua pihak berkepentingan.

“Malah, Suruhanjaya Sekuriti (SC) juga memberi persetujuan untuk pelantikan CEO baharu mengikut Seksyen 10 dalam Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007,” katanya.

Tajuddin menyertai Bursa Malaysia sebagai CEO pada April 2011 dan diberikan mandat untuk mewujudkan pasaran modal yang kukuh di Malaysia.

Selepas kerajaan Pakatan Harapan menerajui pentadbiran negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), dilaporkan bahawa kerajaan akan menggantikan Tajuddin, dalam siri perubahan pengurusan tertinggi yang dijalankan.

Bagaimanapun, Tajuddin ketika itu enggan menjawab spekulasi mengenai kedudukannya dengan mengatakan ‘perniagaan adalah seperti biasa’.

Di bawah kepimpinannya, beliau melaksanakan pelbagai inisiatif strategi yang berjaya mengubah bursa saham itu kepada institusi nasional yang berjaya mewujudkan pasaran modal mantap, dinamik dan cekap.

Sebagai syarikat, Bursa Malaysia terus mempamerkan prestasi perniagaan yang kukuh dan mampan yang mana ia disokong pencapaian kewangan yang positif.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 12:30 PM