Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Kerajaan diseru supaya meningkatkan program celik kewangan secara aktif terutama bagi pelajar universiti bagi mengurangkan isu kebankrapan dalam kalangan golongan muda di negara ini.

Presiden Persatuan Pengurusan Kewangan dan Harta Islam Malaysia (AIFiWM), Rohani Mohd Shahir berkata, langkah itu boleh dilaksanakan dengan cara mewajibkan pelajar universiti menghadiri program pendidikan kewangan sebelum memohon pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Program ini juga boleh dijadikan sebahagian daripada sukatan pelajaran melalui kewujudan jam kredit sebelum mereka menamatkan pengajian masing-masing bagi memastikan mereka akan terus mengikutinya dan menjadikan mereka lebih berhemah dalam pengurusan kewangan pada masa depan,” katanya, di sini.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail mendedahkan seramai 64,632 rakyat Malaysia berusia antara 18 dan 44 tahun diisytiharkan bankrap sejak lima tahun lalu.

Beliau juga menyatakan seramai 13,338 rakyat di negara ini sudah diisytiharkan muflis pada September lalu berdasarkan statistik daripada Jabatan Insolvensi Malaysia.

Rohani berkata, pihaknya bersetuju dengan cadangan Timbalan Perdana Menteri untuk terus aktif mengadakan program pendidikan dan celik kewangan di sekolah namun, mencadangkan program itu perlu diselitkan dengan unsur Islam bagi memastikan ia lebih berkesan kepada kanak-kanak.

“Kita boleh menerapkan unsur Islam dengan memberi penekanan kepada penggunaan wang secara bijaksana dan kepentingan membayar hutang. Ia juga mungkin boleh diperluaskan kepada masyarakat umum melalui ceramah atau khutbah.

“Dalam masa sama, pembabitan pihak berkaitan dalam pengurusan kewangan amat dituntut di mana mereka boleh meningkatkan lagi akses kepada pendidikan kewangan di semua platform media,” katanya.

Berdasarkan statistik daripada Jabatan Insolvensi Malaysia, golongan belia yang berumur antara 25 hingga 34 tahun paling ramai diisytiharkan bankrap dalam tempoh 2013 hingga 2017 iaitu seramai 24,650 individu.

Dalam tempoh sama, jumlah kes kebankrapan yang ditadbir jabatan itu adalah sebanyak 100,610 kes dengan dua faktor utama yang menyumbang kepada permasalahan itu adalah sewa beli kenderaan yang mewakili 26.44 peratus dan pinjaman peribadi (25.78 peratus).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 1:01 PM