LIM (kanan) dan Ketua Pegawai Operasi Jasmine Food, Md Faizal Md Ali pada pelancaran Royal PusaGold.
LIM (kanan) dan Ketua Pegawai Operasi Jasmine Food, Md Faizal Md Ali pada pelancaran Royal PusaGold.
Sofyan Rizal Ishak

Shah Alam: Jasmine Food Corporation Sdn Bhd (Jasmine Food), pengedar produk beras Jasmine memperkenalkan produk beras basmathi terbaru di bawah jenamanya iaitu Royal PusaGold yang diproses secara tradisional tanpa direbus dan dikukus.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lim Swee Keat berkata, pemprosesan secara tradisional menjadikan beras itu memiliki pelbagai manfaat nutrisi baik untuk kesihatan dan sesuai dengan cita rasa komuniti Asia yang menjadikan nasi sebagai makanan ruji mereka.

“Untuk produk ini, kami akan memberi fokus kepada golongan pengguna Cina kerana beras ini menawarkan tekstur yang lembut dan sedikit melekat iaitu sama dengan keperluan komuniti ini yang lebih cenderung kepada jenis beras seumpama itu,” katanya kepada Bisnes NSTP ketika pelancaran produk beras basmathi tradisional Royal PusaGold di sini, semalam.

Beliau berkata, syarikat menjangkakan produk terbabit akan mendapat sambutan yang positif kerana memiliki kandungan mineral dan vitamin tinggi, ditambah dengan peningkatan kualiti yang diberikan melalui penghasilan secara tradisional.

Menurutnya, produk itu disasarkan untuk menarik sekurang-kurangnya 10 peratus daripada tujuh juta populasi komuniti Cina berpotensi yang terdapat di negara ini.

“Kami optimis produk ini akan menerima maklum balas baik sama ada dalam kalangan komuniti Cina yang tidak biasa dengan beras ini dan komuniti Melayu dan India yang menggemari beras basmathi dan menjadikan ia sebagai makanan utama mereka,” katanya.

Lim berkata, Royal PusaGold adalah satu lagi varian Basmathi yang ditawarkan Jasmine Food, di samping dua varian yang dihasilkan secara kukus dan dua varian lagi (rebus).

“Pada masa ini, ia masih ditawarkan dalam skala kecil di pasaran dan kami jangkakan produk ini akan mula boleh didapati secara penuh di pasaran dalam tempoh tiga bulan akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 12:00 PM