RICHARD Record
RICHARD Record
Mahanum Abdul Aziz

Kuala Lumpur: Bank Dunia mencadangkan empat matlamat dasar penting bagi Malaysia dalam usaha memanfaatkan sepenuhnya ekonomi digital di negara ini.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia (Malaysia), Richard Record berkata, empat matlamat dasar penting itu ialah mewujudkan ekosistem digital yang lebih dinamik dengan meningkatnya persaingan, mencapai sambungan jaringan Internet universal, pantas dan murah, meningkatkan modal insan menerusi kurikulum dan peluang pembelajaran berterusan dan menjamin pendapatan cukai digital masa depan.

Beliau berkata, adalah penting bagi Malaysia memaksimumkan manfaat digital ekonomi untuk semua rakyat negara ini dan pada masa sama mengurangkan sebarang kesan buruk terhadap kesaksamaan akses bagi perkhidmatan digital.

“Malaysia melaksanakan banyak perkara betul untuk menggalakkan ekonomi digital sebagai enjin pertumbuhan baharu. Namun begitu, Malaysia perlu mengambil langkah selanjutnya bagi memanfaatkan sepenuhnya potensi ekonomi digital,” katanya ketika menyampaikan Laporan Ekonomi Digital Malaysia, Pemacu Baharu Pembangunan, di sini.

Record berkata, bagi membolehkan Malaysia memastikan pertumbuhan dalam ekonomi digital meluas dan mampan, kerajaan perlu menangani sempadan utama berkaitan infrastruktur, keusahawanan dan percukaian.

Beliau berkata, rakyat Malaysia adalah paling tinggi dari segi akses kepada Internet yang mana ia menyediakan asas pertumbuhan pesat bagi ekonomi digital.

Bagaimanapun, katanya, teknologi digital masih kurang diguna pakai dalam kalangan komuniti perniagaan, yang menjadi cabaran kepada negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 9:51 AM