SYED Zainal bersama pelakon Fazura pada pelancaran Kempen Mural Cerita Kita sempena Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia di Stesen Petronas Solaris Putra Serdang.
SYED Zainal bersama pelakon Fazura pada pelancaran Kempen Mural Cerita Kita sempena Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia di Stesen Petronas Solaris Putra Serdang.
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Petronas Dagangan Bhd (PDB) menjangka pengenalan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tidak memberi impak signifikan kepada harga minyak pelincir kerana ia bergantung kepada harga pasaran minyak mentah dunia.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, meskipun rejim cukai itu mula dilaksanakan 1 September depan, pihaknya optimis syarikat tidak akan menerima tempias besar.

Beliau berkata, pihaknya menunggu keputusan mengenai tarif baru SST dan akan membuat pelarasan bersesuaian dengan cukai itu.

“Setakat ini, kami yakin ia tidak memberi kesan besar sama ada ia SST atau cukai barang dan perkhidmatan (GST), perkara ini bergantung kepada harga pasaran minyak dunia.

“Bagi minyak, ia tertakluk kepada kawalan harga dan ia adalah volum terbesar kepada kami iaitu 90 peratus manakala selebihnya hasil daripada bukan minyak.

“Jadi, kami tidak boleh kaitkan sebarang kenaikan harga minyak pelincir dengan SST semata-mata,” katanya selepas majlis pelancaran Kempen Mural bersempena Hari Kebangsaan dan Malaysia di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya membuat persiapan bagi berdepan pelaksanaan cukai SST malah percaya ia tidak mewujudkan jurang perbezaan ketara kepada syarikat.

Dalam laporan media semalam, pelaksanaan SST bermula 1 September ini dijangka menyebabkan peningkatan harga barang sektor automotif meliputi tayar, alat ganti dan minyak pelincir.

Dalam memorandum 3 Ogos lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Lubricants Marketing (Malaysia) Sdn Bhd (PLMM) Anton Salleh Hashim berkata, syarikat akan menyelaraskan harga pengedar, perkhidmatan stesen Petronas, bengkel, alat ganti serta harga disyorkan kepada pengguna selepas SST dilaksanakan.

Menurutnya, pelarasan harga disebabkan kenaikan harga minyak mentah, kos bahan mentah dan kos operasi, yang mana PLMM perlu bertindak meningkatkan harga meliputi semua saluran highstreet, pengeluar produk tulen (OEM) dan runcit.

Syed Zainal berkata, pada masa akan datang, pihaknya akan meningkatkan peruntukan belanja modal (capex) bagi memenuhi keperluan pengguna setianya.

Katanya, sebahagaian peruntukan capex tahun ini berjumlah RM350 juta digunakan untuk menaik taraf kemudahan di stesen minyak Petronas dan juga kedai Mesra Petronas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Ogos 2018 @ 12:00 PM