RAFIDAH (dua dari kiri) bersama Navjot, Benyamin dan Klipp pada pelancaran penerbangan sulung ke Amritsar.
RAFIDAH (dua dari kiri) bersama Navjot, Benyamin dan Klipp pada pelancaran penerbangan sulung ke Amritsar.
Hartini Mohd Nawi

Amritsar: AirAsia X kini memulakan destinasi baru penerbangan ke Amritsar, bandar suci di utara India mulai 16 Ogos bagi memenuhi peningkatan trafik dan transit pelancongan yang ketara dari Punjab, India.

Syarikat itu menyediakan empat penerbangan seminggu antara Kuala Lumpur dan Amritsar, masing-masing pada Selasa, Khamis, Sabtu dan Ahad menggunakan penerbangan D7188 dan D7189.

Pengerusi AirAsia X Tan Sri Rafidah Aziz berkata, AirAsia X adalah pelopor perjalanan jarak jauh dengan tawaran harga berpatutan dan pihaknya teruja menambah rangkaian syarikat berkenaan yang pesat berkembang.

“Lebih 150,000 tempat duduk ditawarkan setiap tahun. Ia peluang untuk melawat destinasi pelancongan terkemuka dan hab komersial budaya di tengah kota Punjab.

“Sejak 2008, AirAsia membawa lebih dari 19 juta penumpang merentas 21 bandar di India termasuk lebih 300,000 pengunjung dalam rangkaian jarak jauhnya ke New Delhi dan Jaipur, ” katanya pada sidang media Pelancaran Laluan Penerbangan Kuala Lumpur - Amritsar di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Benyamin Ismail, Ketua Kumpulan Komersial AirAsia X Barry Klipp dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Punjab Navjot Singh Sidhu.

Bagi meraikan penerbangan laluan baru itu, Airasia X menawarkan tambang promosi dari RM299 atau 5,490 Rupee sehala bagi tempahan tempat duduk standard dari 16 hingga 26 Ogos ini untuk perjalanan hingga 31 Januari 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Ogos 2018 @ 2:54 AM