LIM  (dua dari kiri) dan  Dr Tan  (dua dari kanan) menandatangani MoU antara LBS Bina  dan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman di M3 Mall.
LIM (dua dari kiri) dan Dr Tan (dua dari kanan) menandatangani MoU antara LBS Bina dan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman di M3 Mall.
Nora Mahpar

Kuala Lumpur: LBS Bina Group Bhd (LBS) akan melancarkan dua projek kediaman bertanah di Lembah Klang dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM962 juta dalam tempoh dua bulan ini.

Pengarah Urusannya, Tan Sri Lim Hock San berkata, dua projek itu adalah Fasa 3 Alam Perdana, Puncak Alam dan Fasa 1 Cybersouth di Dengkil.

Beliau berkata, fasa 3 Alam Perdana, Puncak Alam yang dijangka dilancarkan minggu depan membabitkan GDV RM474 juta merangkumi 856 unit kediaman dua tingkat dan 28 unit semi-D dengan harga bermula dari RM509,900 dan RM850,000.

“Kumpulan yakin dapat mencapai sasaran jualan membanggakan berpandukan jualan fasa 1, yang dilancarkan Oktober tahun lalu sudahpun habis dijual,” katanya pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC) di sini, baru-baru ini.

Hadir sama ialah Presiden TAR UC, Datuk Dr Tan Chik Heok.

Mengulas lanjut, Lim berkata, projek kedua selepas ini adalah Fasa 1 Cybersouth di Dengkil dengan GDV RM488 juta.

Katanya, projek kediaman bertanah itu dijangka dilancarkan September ini merangkumi 379 unit kediaman teres dua tingkat dan 698 unit kediaman ‘townhouse’ dengan harga bermula dari RM530,000 dan RM399,900.

Setakat 17 Julai, LBS mencatatkan jumlah jualan RM914 juta, peningkatan 54 peratus daripada RM593 juta yang dicatatkan tempoh sama tahun lalu, manakala jumlah jualan belum direkodkan sehingga akhir Jun pada RM1.7 bilion.

Mengulas mengenai MoU itu, Lim berkata, kerjasama itu membabitkan usaha LBS Bina berkongsi dan meningkatkan pengalaman pendidikan yang holistik dengan menyediakan persekitaran pembelajaran yang bermanfaat.

“Usaha ini adalah permulaan untuk meneroka bagaimana kita boleh menggabungkan sumber kita sama ada bakat atau kemudahan, bagi menyokong pengalaman pembelajaran yang lebih holistik untuk pelajar TAR UC,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Julai 2018 @ 3:32 AM