MENTERI Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo (dua dari kanan) mendengar taklimat mengenai operasi pengasingan barang dalam lawatan ke IPC Shah Alam, semalam.
MENTERI Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo (dua dari kanan) mendengar taklimat mengenai operasi pengasingan barang dalam lawatan ke IPC Shah Alam, semalam.
Sofyan Rizal Ishak

Shah Alam: Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) merancang membuka beberapa lagi Pusat Bungkusan Bersepadu (IPC) dalam tempoh jangka panjang bagi memenuhi permintaan terhadap perniagaan kurier, ekspres dan bungkusannya (CEP) yang semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Al-Ishsal Ishak berkata, pihaknya menunggu hasil keputusan daripada laporan kajian yang bakal diumumkan penghujung bulan ini bagi menilai potensi pertumbuhan dan aliran e-dagang di lokasi terpilih sebelum melaksanakan pelan pembinaan kemudahan dan penghantaran IPC.

“Kami mungkin membuka IPC 3 dan 4 di lokasi seperti di Wilayah Utara, Selatan, Sabah dan Sarawak bergantung kepada hasil laporan itu kelak,” katanya pada majlis pelancaran projek penambahan kapasiti Pusat Bungkusan Bersepadu (IPC) di sini, semalam.

Sehingga kini, Pos Malaysia memiliki sebuah IPC di Shah Alam dan bakal membuka IPC Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada suku kedua 2019.

Beliau berkata, pihaknya memperuntukkan pelaburan RM60 juta bagi IPC bergantung kepada saiz dan kos pembinaannya dengan purata kapasiti antara 150 000 hingga 200,000 barangan setiap hari.

“Untuk IPC Shah Alam dan KLIA, kami melabur RM120 juta termasuk kos penambahan kapasiti di IPC 1 di Shah Alam ini,” katanya.

Sementara itu, Pos Malaysia melancarkan projek penambahan kapasiti di IPC Shah Alam dengan kos RM50 juta yang dilaksanakan di bawah projek penambahan kapasiti IPC.

Al-Ishsal berkata, penambahan terbaru itu akan meningkatkan lagi kapasiti pusat terbabit kepada 150 peratus iaitu daripada 112,000 item kepada 300,000 item setiap hari.

Menurutnya, langkah Pos Malaysia menambah kapasiti IPC itu didorong oleh CEP domestik yang mencatatkan prestasi positif dengan pertumbuhan 19 peratus setiap tahun sejak lima tahun lalu dipacu oleh segmen e-dagang dengan trend itu dijangka terus meningkat pada masa depan.

“Kami jangka mampu meningkatkan jumlah penghantaran kepada 500,000 item melalui kapasiti IPC di Shah Alam dan KLIA pada tahun depan,” katanya.

IPC adalah kemudahan pengisihan bungkusan automatik Pos Malaysia di mana ia adalah pusat pemprosesan automatik pertama di rantau Asia Tenggara yang menggunakan peralatan dan teknologi cross-belt terkini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Julai 2018 @ 10:18 AM