GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nora Mahpar


LALUAN Kuala Lumpur-Singapura diiktiraf sebagai rangkaian udara paling sibuk di dunia dengan 30,537 penerbangan direkodkan di kedua-dua bandar raya itu dalam tempoh 12 bulan berakhir Februari 2018.

OAG, konsultan industri penerbangan dalam satu kenyataan berkata, ia diikuti Hong Kong-Taipei di tempat kedua dengan 28,887 penerbangan, Jakarta-Singapura berada di tempat ketiga (23,704).

“Laluan Hong Kong-Shanghai Pudong pula keempat sementara Jakarta-Kuala Lumpur melengkapkan lima ranking utama yang semuanya dari Asia,” menurut agensi itu.

Pengarah Jualan Serantau OAG bagi Jepun dan Asia Pasifik, Mayur Patel berkata, 14 daripada 20 laluan paling sibuk di dunia termasuk lapan daripada 10 tempat teratas adalah dalam kalangan bandaraya di Asia.

“Memandangkan perkembangan pesat penumpang udara merentasi seluruh Asia Pasifik dan persaingan sengit di antara syarikat penerbangan di rantau itu, adalah tidak mengejutkan bahawa 14 daripada 20 laluan paling sibuk di dunia adalah di antara pasangan bandaraya Asia,” katanya dalam kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, prestasi tepat masa (OTP) paling tinggi di antara laluan Asia adalah Kansai-Taipei dengan 83 peratus diikuti oleh Bangkok-Singapura (80 peratus) dan Incheon-Kansai (78 peratus).

“Semua lapan laluan Asia dipaparkan sekurang-kurangnya pada enam syarikat penerbangan yang bersaing termasuk laluan Osaka-Taipei dikendalikan oleh 11 syarikat penerbangan.

“Sebaliknya, laluan Eropah dan Amerika Utara yang lebih matang seperti Dublin-London Heathrow dan Chicago-Toronto menunjukkan empat syarikat penerbangan yang bersaing,” katanya.

Diterbitkan pada setiap tahun, OAG 20 Laluan Antarabangsa Paling Sibuk dikira dengan menganalisis kekerapan pesawat pada laluan penerbangan antarabangsa dalam tempoh 12 bulan hingga Februari 2018.

Ini adalah laluan utama paling sibuk di dunia dari segi jumlah penerbangan yang beroperasi di laluan itu.

#loc 3.1390030000000002, 101.68685499999999

#kw KL antara laluan udara tersibuk dunia

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mei 2018 @ 6:52 PM