AZMAN  (tengah) bersalaman dengan  Juhlin-Dannfelt  pada pengumuman Sidang Kemuncak Perniagaan Sweden-Asia Tenggara di Kuala Lumpur, semalam.
AZMAN (tengah) bersalaman dengan Juhlin-Dannfelt pada pengumuman Sidang Kemuncak Perniagaan Sweden-Asia Tenggara di Kuala Lumpur, semalam.
Mohd Zaky Zainuddin

Kuala Lumpur: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melihat Sweden menjadi sumber pelaburan asing yang penting bagi Malaysia, susulan syarikat Sweden terkemuka seperti Volvo, Scania dan SKF sudah bertapak di negara sejak beberapa dekad lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Azman Mahmud berkata, setakat September tahun lalu, MIDA meluluskan 126 projek pembuatan dengan syarikat Sweden membabitkan nilai RM2.7 bilion.

Katanya, nilai pelaburan langsung asing (FDI) dari Sweden juga dijangka terus meningkat tahun ini.

“Kita jangkakan jumlah FDI akan terus meningkat tahun ini. Malah, dengan penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Sweden-Asia Tenggara yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 6 dan 7 Februari ini akan menjadi platform untuk menarik lebih banyak pelaburan dari Sweden ke Malaysia,” katanya kepada media selepas majlis prapelancaran sidang kemuncak itu di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Duta Sweden ke Malaysia Dag Juhlin-Dannfelt, Pesuruhjaya Perdagangan Sweden Carl Malmqvist, Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia Lennart Stegland dan Naib Presiden SAAB Ola Rignell.

Sementara itu, Sidang Kemuncak Perniagaan Sweden-Asia Tenggara yang kedua akan diadakan di Kuala Lumpur pada 6 dan 7 Februari ini, selepas acara sama dianjurkan di Singaspura pada September 2016.

Sidang kemuncak anjuran Kedutaan Sweden, Perniagaan Sweden dan Persatuan Perniagaan Sweden-Malaysia, disokong oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, MIDA dan InvestKL.

Ia bertujuan menyediakan platform kepada komuniti perniagaan Sweden, Malaysia dan Asia Tenggara mendapatkan pandangan daripada rakan industri, pakar mengenai dasar dan berhubung dengan rakan kongsi yang berpotensi.

Juhlin-Dannfelt berkata, sidang kemuncak itu akan menumpukan kepada bidang seperti pendigitalan, Industri 4.0 serta kemampanan dan kecekapan sistem pengangkutan.

“Kami juga akan menyentuh mengenai penyelesaian yang mampan dalam pertumbuhan ekonomi, tanggungjawab alam sekitar, penyelesaian untuk bandar masa depan dan pengangkutan pintar pada sesi perbincangan panel,” katanya.

Menteri Perusahaan dan Inovasi Sweden, Mikael Damberg dijangka mengetuai delegasi terdiri daripada 60 syarikat Sweden ke acara itu selain Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Tan Sri Azman Mokhtar dan Pengerusi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Tan Sri Mohd Munir Abdul Majid.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2018 @ 12:03 AM