TEE  (tengah) diiringi Siow  (dua dari kiri) melawat MCM Studio pada majlis perasmian MCM Studio yang diadakan di Bangunan Capital City.
TEE (tengah) diiringi Siow (dua dari kiri) melawat MCM Studio pada majlis perasmian MCM Studio yang diadakan di Bangunan Capital City.
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Taman tema tertutup kelima terbesar di dunia, MCM Studio di Tampoi di sini, yang dibangunkan Capital World Limited dengan kos bernilai RM260 juta beroperasi pada hujung Julai ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri Datuk Tee Siew Kiong berkata, MCM Studio berkeluasan 525,000 kaki persegi merangkumi tiga bahagian termasuk Movie Planet, Cartoon Planet dan Music Planet.

Menurutnya, kewujudan MCM Studio yang juga taman tema tertutup terbesar di Asia Tenggara bertepatan dengan Pelan Induk Pelancongan Johor 2014-2023 bagi menjadikan negeri ini sebagai destinasi pelancongan terkenal.

“MCM Studio terletak di pusat beli-belah Capital 21 yang juga menyediakan 300 unit perniagaan. Taman tema ini adalah yang ke-10 di negeri ini dan menjadikan Johor sebagai destinasi pelancongan lebih unik, menarik dan bertaraf dunia.

“Apabila dibuka kelak, pusat beli-belah berkenaan termasuk MCM Studio bakal menawarkan sebanyak 2,100 peluang pekerjaan,” katanya pada sidang media sempena majlis pra pelancaran MCM Studio, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Capital World Siow Chien Fu dan wakil MCM Studio Kiril Kolarov.

Sementara itu, Kiril berkata, setiap bahagian di MCM Studio menampilkan kelainan dengan menggabungkan faktor pembelajaran dan permainan.

Menurutnya, MCM Studio sesuai dikunjungi orang ramai bersama keluarga selain kumpulan sasarannya adalah kanak-kanak dan remaja.

“Taman tema ini menampilkan teknologi terkini seperti Augmented Reality (AR) dan Virtual Reality (VR),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2018 @ 12:37 AM