JOHARI
JOHARI
HM Digital

Kuala Lumpur: Malaysia kini berdepan dengan lambakan kediaman dalam segmen mewah dan kemerosotan bekalan rumah mampu milik kepada rakyat berikutan statistik setakat suku pertama lalu menunjukkan 83 peratus kediaman berharga lebih RM250,000 seunit yang dilancarkan pada tempoh itu tidak terjual.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, menurut statisitik juga, 42 peratus permintaan rakyat membabitkan rumah mampu milik tetapi bekalan hanya 24 peratus daripada jumlah kediaman yang dilancarkan oleh pemaju.

Beliau berkata, kediaman berharga lebih RM250,000 seunit hanya mampu dimiliki oleh 58 peratus isi rumah Malaysia dan kerajaan akan terus memantau serta perlu mengambil langkah tertentu kerana ia boleh memberi kesan kepada ekonomi negara.

“Setakat suku pertama tahun ini, ada 130,000 unit kediaman tidak terjual dan kebanyakkannya dijual pada harga RM250,000 ke atas. Namun, kebanyakan rakyat di negara ini hanya mampu membeli rumah di bawah harga berkenaan dan layak mendapat pembiayaan.

“Jika dibandingkan pada suku sama pada 2012, terdapat 54,000 rumah tidak terjual, tetapi rumah dalam segmen mewah hanya sekitar 19,000 tidak terjual. Berbanding hari ini, 130,000 kediaman tidak terjual dan 108,000 unit adalah kediaman mewah,” katanya.

Katanya, perkara ini berlaku kerana pada sekitar lima tahun lalu sebelum kerajaan memperkenalkan pelbagai polisi perumahan, banyak syarikat hartanah membangunkan kediaman dalam segmen mewah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2017 @ 2:08 AM