ISMEE Ismail
ISMEE Ismail
Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: Media Prima Berhad (Media Prima), peneraju kumpulan media bersepadu sepenuhnya di Malaysia mencatatkan peningkatan perolehan 21 peratus bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2017 (2QFY17) berbanding suku sebelumnya.

Jumlah berkenaan disumbangkan daripada pengiklanan yang meraih semula momentum selepas bermula dengan perlahan pada awal tahun.

Bagaimanapun, kumpulan merekodkan Kerugian Selepas Cukai (LAT) sebanyak RM138.4 juta bagi tempoh 2QFY17 disebabkan penurunan pelaburan one-off dalam MNI berjumlah RM142.4 juta.

Jika tidak termasuk penurunan one-off ini, kumpulan merekodkan Keuntungan Selepas Cukai (PAT) RM4.0 juta bagi tempoh suku kedua. Perolehan bagi tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2017 menyusut sebanyak lapan peratus berbanding tempoh kewangan sama tahun 2016.

Kumpulan juga merekodkan perolehan sebanyak RM601 juta bagi tempoh enam bulan pertama 2017. Penyusutan ini berpunca daripada perubahan dalam perilaku pengguna dan perubahan teknologi yang memberi kesan kepada industri media secara keseluruhannya.

Manakala kumpulan telah menerokai inisiatif perniagaan baru digital dan berasaskan pengguna untuk melengkapi segmen media tradisional yang kekal dalam tempoh matang.

Pengerusi Media Prima, Tan Sri Ismee Ismail berkata, kumpulan komited untuk menyampaikan nilai kepada pemegang saham dengan mengambil kesempatan dalam peningkatan permintaan kepada e-dagang dan kandungan digital dalam kalangan pengguna.

“Kumpulan sudah memulakan inisiatif utama pada 2016 bagi membolehkan perolehan sumber baru, sementara syarikat menyatukan penguasaan pasaran dalam perolehan pengiklanan teras.

“Kumpulan sudah melengkapkan pengambilalihan REV Asia Holdings Sdn Bhd pada Ogos 2017 yang mana secara signifikan mengukuhkan capaian digital Media Prima bagi memperoleh perolehan daripada pertumbuhan dalam pengiklanan digital,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, segmen beli-belah di rumah menyumbang secara signifikan kepada perolehan kumpulan dengan jualan melebihi RM90 juta bagi tahun pertama operasi.

“Kumpulan merancang meningkatkan pendedahan CJ Wow Shop bagi meneroka lebih luas pasaran pertumbuhan membeli-belah di rumah/e-dagang dan mencari peluang dengan meluaskan kepelbagaian dengan menawarkan lebih banyak produk tempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2017 @ 8:56 AM