Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC) berhasrat untuk menawarkan pembiayaan berjumlah RM750 juta merangkumi pinjaman bercagar, perniagaan dan pembiayaan peribadi bagi sepanjang tahun 2017.

Ketua Jabatan Kredit SCC, Chang Kok Kien berkata, pada tahun lalu, perbadanan negeri menyediakan RM650 juta pembiayaan kepada kakitangan awam, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta terpilih bagi seluruh Sabah.

Beliau berkata, dalam skim pinjaman yang ditawarkan, orang ramai yang berkelayakan boleh membuat pembiayaan paling rendah sebanyak RM3,000 hingga nilai tertinggi iaitu RM200,000.

“Objektif utama SCC adalah untuk membantu dalam pembangunan sosioekonomi negeri Sabah. Sebagai institusi kewangan, kami membantu usaha kerajaan negeri dengan menyediakan atau memudahkan pinjaman kewangan untuk mempromosi dan menggalakkan pelaburan persendirian.

“Antara industri terbabit termasuklah pertanian, industri ringan, pembangunan perumahan luar dan dalam bandar, rumah kedai dan kemudahan-kemudahan awam,” katanya ketika
ditemui pada Karnival Kewangan Sabah 2017 di Kota Kinabalu.

SCC mempunyai 14 cawangan di seluruh negeri Sabah dan selain menyediakan produk pembiayaan kepada pelanggannya, perbadanan itu turut memainkan peranan sebagai pakar perunding kewangan, menganalisis kewangan serta memberi khidmat nasihat.

Bagi tahun kewangan 2016, SCC merekodkan keuntungan sebelum cukai RM60 juta dengan jumlah aset keseluruhan bernilai RM2.72 bilion dan mengisytiharkan dividen akhir berjumlah RM14 juta kepada kerajaan negeri Sabah.

Chang berkata, dalam memperkukuh kedudukannya sebagai antara institusi kewangan yang berkembang pesat, SCC mengambil langkah proaktif dalam migrasi servisnya ke arah perkhidmatan yang patuh syariah.

“Negeri Sabah kaya dengan masyarakat berbilang bangsa dan agama, jadi kami merasakan ia pilihan tepat untuk menyediakan perkhidmatan patuh syariah kerana ia mempunyai banyak kelebihannya.

“Buat masa ini, hanya segmen pembiayaan pinjaman peribadi patuh syariah memandangkan ia adalah jenis pinjaman yang sering mendapat permintaan tinggi dengan faedah tetap 4.5 peratus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 8:30 AM