AIREEN (empat dari kiri) dan Judi (empat dari kanan) memotong riben simbolik kerjasama, semalam.
AIREEN (empat dari kiri) dan Judi (empat dari kanan) memotong riben simbolik kerjasama, semalam.
Sofyan Rizal Ishak


Shah Alam: AirAsia Bhd (AirAsia), syarikat penerbangan tambah rendah negara optimis mencapai sasaran 1.5 juta penumpang tempatan ke Indonesia menjelang akhir tahun ini, sempena kempen pelancongan Indonesia Wonderful Indonesia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Aireen Omar berkata, keyakinan itu berdasarkan pencapaian syarikat yang berjaya membawa lebih empat juta penumpang bagi kedua-dua negara tahun lalu.

“Kami yakin sasaran ditetapkan Kementerian Pelancongan Indonesia ini boleh dicapai tahun ini dan unjuran penumpang ini akan dikaji semula setiap tahun melalui kerjasama mereka,” katanya pada sidang media kerjasama Kementerian Pelancongan Indonesia dan AirAsia, di sini, semalam.

Hadir sama, Kakitangan Profesional kepada Menteri Infrastruktur Pelancongan, Judi Rifajantoro.

Kedua-dua pihak akan menjalinkan kerjasama bagi memacu sektor pelancongan dengan mempromosikan pelancongan Indonesia di Malaysia melalui laluan penerbangan AirAsia dalam tempoh sehingga hujung tahun ini.

Kerjasama itu menyaksikan kedua-dua pihak memberi fokus kepada usaha pemasaran daripada aspek pengiklanan, aktiviti promosi dan aktiviti lain dalam bentuk digital, media cetak, radio, penjenamaan dalam penerbangan, pameran dan jualan.

Judi berkata, pihaknya berharap AirAsia mampu membawa lebih ramai pelancong ke Indonesia terutama warga Malaysia bagi melihat keindahan Indonesia melalui rangkaian luas AirAsia.

“Kerjasama ini adalah langkah pertama dalam perancangan kami untuk terus bekerjasama dengan syarikat penerbangan dan komuniti di mana kami sentiasa terbuka dengan sebarang bentuk kerjasama dengan pihak lain,” katanya.

AirAsia menghubungkan Malaysia dengan Indonesia melalui lebih 350 kali penerbangan seminggu ke 15 bandar seperti Banda Acheh, Bandung, Bali, Jakarta, Lombok, Medan, Pekanbaru, Palembang, Padang, Pontianak, Semarang, Solo, Surabaya, Makassar dan Yogyakarta.

Syarikat itu juga menambah kekerapan ke beberapa laluan di Indonesia, baru-baru ini dan melancarkan penerbangan terus dari Kuching ke Pontianak untuk memenuhi permintaan yang meningkat antara kedua-dua negara.

Sempena kerjasama itu, AirAsia menawarkan promosi untuk penerbangan ke Indonesia dengan tambang bermula daripada RM79 untuk tempahan bermula 1 hingga 6 Ogos ini bagi tempoh penerbangan segera hingga 25 Februari 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2017 @ 8:47 AM