ANAK sulung Dazrina yang menghidap autisme gembira menggunakan pensel cakar.
ANAK sulung Dazrina yang menghidap autisme gembira menggunakan pensel cakar.
Wan Nur Ameera Meor Rozman

Kuala Lumpur: TulisCantik Resources, pengeluar produk Pencil Claw mengunjur untuk menjual sebanyak 50,000 unit alat berkenaan menjelang akhir tahun ini.

Pengarah Urusannya, Dazrina Che Din berkata, pihaknya yakin mampu mencapai sasaran ditetapkan, apatah lagi menerima banyak pesanan ulangan serta pelbagai maklum balas yang memberansangkan daripada kalangan ibu bapa pengguna.

“Produk utama kami adalah Pencil Claw iaitu alat bagi membantu kanak-kanak yang mempunyai masalah untuk memegang pensel dengan cara yang betul, kanak-kanak yang lemah dalam menulis mahupun yang baru mula belajar menulis.

“Pencil Claw akan memperbetul dan mengukuhkan kedudukan tiga jari utama apabila menulis, sekali gus berupaya membantu kanak-kanak ini menulis dengan lebih cepat, memegang pensel dengan lebih mudah dan selesa serta menghasilkan tulisan yang lebih kemas,” katanya ketika ditemu bual, di sini.

Menurutnya, penggunaan Pencil Claw amat sesuai untuk anak kecil yang mempunyai masalah lemah motor terutama mereka yang kerap menggunakan gajet, kanak-kanak yang terlalu menekan atau terlalu lembut ketika menulis, yang menulis terlalu lambat dan tidak fokus ketika menulis serta kanak-kanak austime.

Ia boleh digunakan oleh kanak-kanak seawal usia satu tahun, golongan yang kidal serta dewasa.

Dazrina berkata, di samping Pencil Claw, pihaknya turut mengetengahkan peralatan permainan berasaskan pembelajaran untuk kanak-kanak seawal setahun.

Menurutnya, dalam usaha untuk melancarkan lagi proses pembelajaran kanak-kanak terbabit, syarikatnya merancang untuk membuka kedai Education Toys untuk menjual peralatan permainan yang dapat menarik minat mereka ke arah pembelajaran, selain membantu mengurangkan waktu bermain gajet.

“Pusat terapi pula akan dibangunkan untuk melaksanakan pelbagai aktiviti terapi merangkumi aspek pertuturan dan deria,” katanya.

Pencil Claw yang bernilai RM15 dan Education Toys yang dijual pada harga bermula RM5 sehingga RM50 boleh didapati daripada 20 ejen di negeri terbabit atau menerusi Instagram (@tuliscantik) dan Facebook (Tulis Cantik).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2017 @ 3:25 AM