IZHAM memberi penerangan mengenai projek perbandaran bersepadu yang dilancarkan.
IZHAM memberi penerangan mengenai projek perbandaran bersepadu yang dilancarkan.
Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Bina Darulaman Berhad (BDB) melancarkan dua pembangunan perbandaran bersepadu iaitu Darulaman Saujana dan Darulaman Putra dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM2.6 bilion.

Pengarah Urusan Kumpulannya Datuk Izham Yusoff berkata, projek itu memberi fokus kepada pembangunan berasaskan konsep dan tema gaya hidup bagi memenuhi trend permintaan yang semakin berkembang di wilayah utara.

“Pembangunan Siri Gaya Hidup akan dilaksanakan di Jitra (Darulaman Saujana) dan Sungai Petani (Darulaman Putra) yang dijangka lengkap sepenuhnya dalam 10 tahun akan datang,” katanya pada sidang media mengenai dua projek baru itu, di sini, semalam.

Darulaman Saujana adalah projek pembangunan dengan GDV RM1 bilion yang dibina di tanah seluas 82.15 hektar dan akan dilancarkan hujung tahun ini.

Ia membabitkan pembinaan 1,500 unit kediaman terdiri daripada rumah mampu milik, rumah bandar, rumah berkembar, semi D dan lot banglo dengan harga jualan bermula RM45,000 hingga RM650,000 ke atas.

Beliau berkata, Darulaman Putra adalah projek pembangunan dengan GDV RM1.6 bilion yang akan dibina di tanah seluas 93.88 hektar dan bakal dilancarkan dalam lima bulan akan datang.

Ia membabitkan pembinaan 1,620 unit hartanah terdiri daripada rumah mampu milik, rumah bandar, rumah berkembar, semi D, banglo dan kondominium dengan harga jualan bermula RM300,000 hingga RM1 juta.

“Kawasan perbandaran ini direka bagi mewujudkan persekitaran alam semula jadi dan memelihara keseimbangan ekologi bakal membabitkan taman Botanical Wetland pertama di Kedah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2017 @ 2:24 AM