PEREYRA ketuai QSR Brands sejak Januari lalu.
PEREYRA ketuai QSR Brands sejak Januari lalu.
Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: QSR Brands (M) Holdings Sdn Bhd (QSR Brands) tidak menolak kemungkinan mengambil alih dan menjadi pemegang lesen francais induk jenama KFC di negara luar Malaysia, selain Brunei, Vietnam, Singapura dan Kemboja yang dimilikinya ketika ini.

Bagaimanapun, buat masa ini fokus syarikat mahu terus mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju rangkaian restoran makanan segera di negara ini yang masih kekal sebagai pemain utama.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Merrill Christopher Pereyra berkata, Malaysia memainkan peranan penting bagi syarikat itu yang ketika ini menyumbang 90 peratus kepada perolehan jualan keseluruhan negara operasinya.

Malah, beliau berkata, pihaknya tidak melihat negara KFC beroperasi yang dimiliki QSR Brands mampu mengimbangi nisbah perolehan sumbangan dari pasaran negara ini memandangkan kedudukan serta prestasi KFC Malaysia begitu baik dan positif dari tahun ke tahun.

“Walaupun berdepan dengan persekitaran ekonomi yang lembap kebelakangan ini, prestasi jualan KFC di Malaysia tetap baik dan tidak menunjukkan pengurangan atau kemerosotan.

“Syarikat juga tidak memotong perbelanjaan modal (capex) atau perbelanjaan operasi (opex) dari tahun ke tahun kerana tiada keperluan. Perkara penting ialah langkah pengurusan kos perniagaan yang lebih efisien,” katanya kepada Bisnes Metro, di sini, baru-baru ini.

Pereyra yang dilantik Ketua Pegawai Eksekutif QSR Brands yang memegang lesen francais induk bagi dua jenama makanan segera di Malaysia iaitu KFC dan Pizza Huts sejak Januari lalu mempunyai 30 tahun pengalaman dalam industri termasuk menguruskan beberapa jenama makanan segera terkemuka dunia.

Menurutnya, sebagai pemimpin baru dalam QSR Brands, pihaknya berhasrat menjadikan Malaysia sebagai peneraju KFC dalam kalangan negara di Asia.

Katanya, kemampuan KFC di Malaysia tidak boleh disangkal kerana QSR Brands berjaya meraih pelbagai anugerah kecemerlangan KFC di peringkat antarabangsa dari segi prestasi jualan, tanggungjawab sosial sehingga meneroka rantaian sumber untuk perniagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2017 @ 7:55 AM