PELAJAR mencuba VR bagi meningkatkan penguasaan BI profesional.
PELAJAR mencuba VR bagi meningkatkan penguasaan BI profesional.
Fazurawati Che Lah


ERA Revolusi Industri keempat membawa begitu banyak 'gangguan' dalam cara dan gaya pembelajaran mahasiswa Malaysia.

Bagi pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris (BI), pensyarah diberi masa yang begitu terhad untuk menyampaikan set kemahiran rumit seperti kemahiran BI untuk bermesyuarat atau kemahiran BI untuk komunikasi profesional.

Mendepani cabaran ini, sekumpulan pensyarah Akademi Pengajian Bahasa (APB), UiTM Cawangan Perak mengambil inisiatif membawa mahasiswa mereka ke alam maya bagi meningkatkan tahap pendedahan BI profesional untuk kerjaya pada masa akan datang.

Menurut Dr Airil Haimi Mohd Adnan yang juga Ketua Pusat Pengajian APB dan projek inovasi pembelajaran abad ke-21, kekangan masa adalah masalah besar dalam pendidikan BI di institut pengajian tinggi awam (IPTA).

“Apalah sangat yang dapat diajar dalam masa dua jam untuk seminggu?

“Apatah lagi untuk memahirkan siswa dan siswi kita dalam penggunaan BI profesional seperti di tempat kerja, mesyuarat atau ketika berjumpa pelanggan. Memang mustahil,” katanya.

Katanya, bersama sekumpulan pensyarah muda, mereka membangunkan inovasi siri video maya interaktif English Language Simulations Augmented with 360˚videos (ELSA 360˚-Videos).

Menggunakan teknologi kamera 360 darjah yang dibeli dari luar negara, Dr Airil Haimi dan kumpulan pembangun teknologi menghasilkan 15 siri video interaktif BI 360 darjah serta pengalaman Realiti Maya (VR).

“Hasilnya, pelajar dapat melihat dan merasai sendiri keadaan di dalam bilik mesyuarat menggunakan BI sepenuhnya dan beberapa simulasi BI profesional.

“Kami bantu pelajar selami situasi secara maya dan kuasai kemahiran secara maya dengan teknologi pembelajaran digital, tidak perlu lagi menggunakan kaedah tradisional,” katanya.

Pelajar Senireka Grafik UiTM, Alya Abu Bakar berkata, pengalaman menggunakan ELSA 360˚-Videos untuk menguasai kemahiran BI profesional begitu mengujakan.

“Sebagai pelajar visual, jika suatu perkara susah dibayangkan, saya kurang minat, tapi dengan Projek VR ELSA 360 sangat membantu.

“Hasilnya, saya seakan-akan berada dalam mesyuarat, jumpa klien dan sebagainya. Seronok dengan visual itu menyebabkan kami berulang tengok supaya betul-betul memahaminya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 7:54 AM