KERJASAMA UPSI dan Go Coach Sdn Bhd mampu menghasilkan pengalaman kejurulatihan yang berkesan kepada pemain sukan.
KERJASAMA UPSI dan Go Coach Sdn Bhd mampu menghasilkan pengalaman kejurulatihan yang berkesan kepada pemain sukan.
Fazurawati Che Lah


Jurulatih sukan hari ini mesti melengkapkan diri dengan kemahiran dan pengetahuan yang relevan bagi menghadapi cabaran melatih serta membimbing atlet.

Peranan jurulatih yang berkualiti dan berpengalaman sangat penting untuk memastikan atlet mereka mendapat sokongan terbaik dalam bentuk latihan serta bimbingan.

Oleh itu, jurulatih perlu sentiasa mengikuti perkembangan teknik dan pendekatan bimbingan terkini termasuk pentadbiran sukan yang boleh menyumbang kepada pelaksanaan tanggungjawab mereka.

Dalam memimpin mahasiswa mendepani cabaran baharu dunia sukan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) menjalin kerjasama pintar dengan Go Coach Global Sdn Bhd (Go Coach) bagi menghasilkan pengalaman kejurulatihan yang berkesan kepada atlet sukan.

Go Coach ialah syarikat yang membantu menghubungkan atlet dengan jurulatih sukan berkualiti melalui laman sesawangnya.

Naib Canselor Upsi, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, melalui kerjasama itu mahasiswa Upsi akan mendapat nilai tambah kerana Go Coach menawarkan peluang kepada mereka mendapatkan sijil menjadi jurulatih.

“Melalui kerjasama ini, pelajar sekali gus dapat menjana pendapatan apabila mereka mendaftar dengan Go Coach.

“Walaupun pelajar tidak bekerja dalam bidang yang diceburi, sijil yang dimiliki kelak mampu membantu pelajar melakukan kerja sampingan sebagai jurulatih pada masa akan datang,” katanya.

MoU itu ditandatangani Dr Mohammad Shatar mewakili Upsi, manakala Go Coach diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Rashid Jamiran.

Sementara itu, Mohd Rashid berkata, kerjaya jurulatih sukan perlu dinaik taraf bagi memastikan jurulatih memiliki sekurang-kurangnya Kursus Sains Sukan (KSS) tahap satu dari Institut Sukan Negara (ISN).

Katanya, Go Coach juga bakal menawarkan Apprentice Coach Programme (ACP) dalam kursus tertentu kepada jurulatih yang mendaftar di laman sesawang berkenaan.

“Jurulatih berdaftar tidak perlu risau untuk menguruskan hal pembayaran kerana sudah terpapar di laman sesawang Go Coach.

“Mereka hanya perlu datang dan melatih pemain sahaja. Bagi menjaga kualiti dan penambahbaikan servis kejurulatihan, pengurusan Go Coach akan menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Ogos 2019 @ 8:31 AM