KHUSYUK menghasilkan ukiran.
KHUSYUK menghasilkan ukiran.
Fazurawati Che Lah


Beberapa kali jari dan tangan luka terkena pisau, tetapi penuntut Diploma Pengurusan Hotel, Wan Muhammad Anieqq, 22, tidak mengalah untuk menghasilkan ukiran yang kreatif pada buah.

Minat yang mendalam terhadap seni ukiran buah membuatkan anak muda dari Gua Musang, Kelantan ini kerap mengikuti pertandingan berkenaan sehingga ke luar negara.

Menurut pelajar tahun akhir Politeknik Merlimau Melaka (PMM) itu, minat terhadap seni kulinari wujud sejak dari sekolah menengah lagi.

“Sebaik tamat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) saya ditawarkan melanjutkan pengajian di Kolej Komuniti Rompin, Pahang untuk peringkat sijil Seni Kulinari pada 2015.

“Tidak terus mengalah, pada 2017, saya mendapat tawaran menyambung pengajian di PMM bagi mendalami seni ukiran buah,” katanya.

Katanya, berikutan tiada pengalaman dalam bidang ukiran buah, jari-jemari dan tangannya kerap luka setiap kali sesi latihan mengukir.

“Mula-mula belajar mengukir, saya tidak mahir mengendalikan pisau. Tambahan pula, pisau ukir yang digunakan agak kecil menyebabkan jari kerap terkena pisau.

“Saya masih ingat, ketika mahu potong untuk buat kelopak bunga ros menggunakan lobak, saya terlajak sampai tercucuk separuh daripada pisau pada tangan saya. Ekoran itu, saya menerima beberapa jahitan di jari,” katanya.

Wan Muhammad Anieqq memberitahu, bagi mendapatkan teknik dan kemahiran memerlukan banyak latihan kerana seni ukiran memerlukan masa yang lama dan ketelitian.

“Bagi yang baru belajar, selalunya ukir corak bunga ros kerana itu adalah kemahiran asas.

“Tetapi kalau sudah mahir boleh buat pelbagai bentuk ukiran mengikut kreativiti sendiri.

WAN MUHAMMAD ANIEQQ bersama ukiran buah dihasilkan.
WAN MUHAMMAD ANIEQQ bersama ukiran buah dihasilkan.

“Biasanya masa yang diambil untuk mengukir bentuk bunga adalah satu jam manakala untuk ukiran tulisan dan potret mengambil masa lebih kurang dua jam,” katanya yang pernah menghasilkan ukiran potret ibu dan ayahnya di buah.

Beliau berkata, seni ukiran boleh dilakukan pada semua jenis buah yang mempunyai permukaan sehingga kepada buahan dan sayuran kecil termasuk epal, cili merah dan lobak.

Katanya, keselamatan harus diutamakan bagi seorang pengukir buah kerana pisau yang digunakan adalah tajam.

Mempunyai misi mencapai kejayaan lebih tinggi pada pertandingan peringkat dunia, Wan Muhammad Anieqq yakin cita-citanya itu akan berjaya jika disusuli dengan usaha yang tidak pernah putus asa.

Beberapa pertandingan besar di dalam dan luar negara disertai ialah Melaka Culinary Challenge, Festival Antarabangsa Sungai Melaka 2017, Fruit Vegetables Carving di Polyskill 2018, Battle of The Chef 2018 dan pertandingan The Golden Art Beat 2019.

Selain itu, pertandingan Ultimate Chef Challenge 2019 yang diadakan di Thailand dengan dia memperoleh dua pingat gangsa dalam acara ukiran secara berkumpulan dan individu.

Menurut Wan Muhammad Anieqq, dia turut mempunyai perancangan sama ada untuk menyambung pengajian dalam bidang seni kulinari atau bekerja sebagai chef di hotel luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 10:04 AM