SEMINAR penyelidikan dan inovasi meningkatkan kualiti pendidikan anak-anak persisiran pantai Kelantan.
SEMINAR penyelidikan dan inovasi meningkatkan kualiti pendidikan anak-anak persisiran pantai Kelantan.
Fazurawati Che Lah

DALAM usaha membantu meningkatkan kualiti pendidikan kanak-kanak yang tinggal di pesisiran pantai, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kota Bharu, Kelantan dan Pusat Komuniti Kelestarian Universiti Malaya (UMCares) menganjurkan Seminar Penyelidikan dan Inovasi.

Program untuk kanak-kanak di pesisiran pantai khususnya di Kota Bharu itu menjadi medan perkongsian ilmu pengetahuan, kemahiran dan perbincangan ke arah menghasilkan inovasi pendidikan yang dapat melonjak pendidikan murid berkenaan.

Inisiatif berkenaan bagi mempersiapkan murid persisiran pantai untuk mendepani cabaran era digital, Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Ketua Jabatan Penyelidikan dan Inovasi, IPG Kampus Kota Bharu, Dr Raja Shaharudin Raja Mohamad berkata, program itu mampu meningkatkan prestasi akademik murid pesisiran pantai.

Beliau berkata, ia juga dapat membantu guru untuk berani berubah, membuat anjakan paradigma dan minda menerusi hasil penyelidikan yang dijalankan.

BERGAMBAR kenangan selepas selesai seminar.
BERGAMBAR kenangan selepas selesai seminar.

"Secara tidak langsung, seminar ini berupaya mencetuskan inovasi dan kreativiti dalam pengajaran selain pembelajaran ke arah meningkatkan kualiti serta amalan di dalam bilik darjah," katanya.

Peserta program, Norazan Mat Nor berkata, murid pesisiran pantai perlu didedahkan dengan kemahiran pembelajaran abad ke-21 bagi meningkatkan pembabitan aktif di dalam bilik darjah.

“Usaha memperkenalkan penggunaan ‘pembelajaran bergerak,’ tablet dan iPad sebagai medium pembelajaran menerusi projek intranet dilihat sebagai satu pendekatan alternatif yang dapat direalisasikan di sekolah pesisiran pantai ini kerana kebanyakannya tidak mendapat kemudahan jalur lebar.

“Di samping itu, kanak-kanak pesisiran pantai juga perlu dilibatkan sepenuhnya dengan aktiviti pembelajaran digital seperti penggunaan Aplikasi Aurasma, Kod QR dan ‘m-learning.’

“Saranan ini bagi menarik minat mereka terhadap pembelajaran dan seterusnya meningkatkan penyertaan dalam pendidikan arus perdana,” katanya.

Sementara itu, dalam sesi Cetus Idea Inovasi bersama Pensyarah Kanan, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Dr Mohd Nazri Abdul Rahman mendapati beberapa isu pendidikan kanak-kanak pesisiran pantai perlu ditangani bersama.

Dr Mohd Nazri berkata, pembabitan guru sebagai penyelidik dalam bilik darjah adalah satu inisiatif terbaik untuk merungkai permasalahan dan mengetengahkan beberapa program yang dapat dijalankan bagi memperbaiki penyertaan serta prestasi akademik kanak-kanak berkenaan.

“Isu pendidikan kanak-kanak pesisir pantai berkait rapat dengan kualiti penyampaian pengajaran dan tahap kompetensi guru serta kemampuan menguasai kemahiran pembelajaran abad ke-21 berpotensi menarik minat kanak-kanak ini untuk hadir ke sekolah.

“Penyelidikan dan inovasi pengajaran seharusnya dilaksanakan secara kolaborasi antara guru di sekolah dengan kepakaran pensyarah

di IPG.

“Ia bagi meningkatkan kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran berfikir pada aras tinggi dan kemahiran menggunakan perisian komputer atau alatan canggih digunakan guru,” katanya.

SEBAHAGIAN alatan mengajar.
SEBAHAGIAN alatan mengajar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 1:55 PM