DR Norhayati (tengah) bersama penilai melihat produk yang dihasilkan pelajar. FOTO NSTP
DR Norhayati (tengah) bersama penilai melihat produk yang dihasilkan pelajar. FOTO NSTP
Fazurawati Che Lah

Hasil karya 50 penuntut semester akhir daripada lima jabatan Universiti Teknologi MARA Malaysia (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar disatukan di Pameran Seni Combination 1.0 (Art and Design Diploma Show) di Galeri Albiruni, baru-baru ini.

Pelajar itu terdiri daripada Jabatan Grafik dan Media Digital, Jabatan Senireka Fesyen, Jabatan Fotografi serta Jabatan Seni Halus.

Pameran diadakan sempena penilaian karya penuntut semester akhir Diploma Sesi September 2018 - Januari 2019 yang dihadiri warga kampus dan sekolah di sekitar daerah Perak Tengah.

Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, Prof Dr Norhayati Baharun berkata, kejayaan pelajar mempamerkan karya berkualiti itu adalah usaha gigih mereka selama 14 minggu pengajian di semester akhir.

Katanya, penilaian berkenaan dibuat berdasarkan kepada kehendak projek kursus mengikut jabatan masing-masing bagi menepati silibus program diploma.

Jelasnya, lima pelajar menerima Anugerah Pencapaian Akademik terbaik pada majlis perasmian program itu.

DR Norhayati bersama jawatankuasa dan pengkarya. FOTO NSTP
DR Norhayati bersama jawatankuasa dan pengkarya. FOTO NSTP

“Pengajian seni menjadi satu bidang yang penting dalam pembentukan kebudayaan dan ketamadunan sesuatu bangsa.

“Mengambil contoh sekolah seni seperti Sekolah Seni Saint Martin dan Goldsmith di United Kingdom yang melahirkan seniman, ilmuwan dan pelaksana dalam bidang seni serta budaya Eropah. Tidak kurang juga sekolah di Indonesia, Thailand dan Singapura yang sudah lama bertapak dan melahirkan graduan serta generasi pemikir yang berjaya dalam bidang ini.

“Perkara ini secara tidak langsung memaparkan kepentingan bidang jurusan seni dan rekaan dalam konteks peradaban manusia,” katanya.

Katanya, Fakutli Senilukis dan Senireka UiTM Cawangan Perak sentiasa relevan di hati masyarakat dan persada seni tanah air dengan pembabitan pelajar, alumni mahupun staf.

Pelbagai kejayaan dan penganugerahan diperoleh fakulti ini antaranya Anugerah Seni Bakat Muda Sezaman, Anugerah Seni Jarum Berlian, Anugerah Seni Petron dan Nandos, bakat Muda Pulau Pinang serta Anugerah Rekaan Songket Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 12:24 PM