DARI kiri Mohammad Izzuddin, Mohd Wafiy, Farah Afifah, Mohd Fakhrullah dan Tan.
DARI kiri Mohammad Izzuddin, Mohd Wafiy, Farah Afifah, Mohd Fakhrullah dan Tan.
Zuraidi Mansor

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melakar sejarah apabila lima mahasiswanya memenangi Anugerah Tokoh Siswa 2017 di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), baru-baru ini.

Pada majlis penganugerahan itu, Kevin Tan memenangi Anugerah Pemimpin Fakulti/ Persatuan / Kelab, Mohd Wafiy Mohammad Taufik (Anugerah Pemimpin Kolej Kediaman), Farah Afifah Ahmad Suhaimi (Anugerah Pemimpin Program Sukan), Mohd Fakhrullah Farrok (Anugerah Pemimpin Program Kebudayaan) dan Mohammad Izzuddin Zakaria meraih Anugerah Pemimpin Program Keusahawanan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof Madya Dr Md Amin Md Taff berkata, pihaknya berbangga dengan pencapaian itu, lebih-lebih lagi apabila julung kali diraih UPSI sejak anugerah berkenaan diwujudkan sejak 2014.

Beliau berkata, kejayaan itu adalah berkat keikhlasan, pengorbanan, semangat setia kawan dan munajat yang tidak putus dari seluruh warga UPSI.

“Kejayaan ini membuktikan kehebatan mahasiswa UPSI setanding dengan universiti awam lain yang ada di seluruh Malaysia.

“Alhamdulillah, buat julung kalinya dalam sejarah 21 tahun penubuhan UPSI, kami berjaya menggondol lima dari 15 kategori yang dipertandingkan, sekali gus membolehkan UPSI muncul pemenang terbanyak bagi pencapaian 2017,” katanya.

Pada 2016, empat mahasiswa UPSI berjaya melangkah ke peringkat akhir pemilihan tetapi tewas.

Beliau menyifatkan, kejayaan bersejarah itu adalah manifestasi seluruh warga UPSI terhadap universiti pendidikan itu, berlandaskan pengorbanan, usaha dan perjuangan tanpa kenal putus asa untuk melihat wakil UPSI tampil bergaya di pentas kemenangan.

Sementara itu, Mohd Fakhrullah yang aktif bersama kolej Ungku Omar melahirkan kesyukuran dengan kemenangan yang dihadiahkan untuk UPSI.

“Saya bersyukur kerana mendapat sokongan baik daripada kakitangan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) yang membentuk perjalanan hidup di kampus serta dalam membuat persiapan untuk kami menyertai anugerah berprestij ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 6:00 AM