VERSTAPPEN meraikan kejayaan bersama pasukannya selepas perlumbaan GP Abu Dhabi. FOTO EPA
VERSTAPPEN meraikan kejayaan bersama pasukannya selepas perlumbaan GP Abu Dhabi. FOTO EPA
AFP

Abu Dhabi: Pelumba Red Bull, Max Verstappen seakan tidak percaya dapat merangkul kejuaraan dunia Formula Satu (F1) buat kali pertama selepas dia memenangi perlumbaan penamat musim yang penuh dramatik di Grand Prix (GP) Abu Dhabi semalam.

"Ini sukar dipercayai. Saya mula berlumba dengan bapa saya beberapa tahun yang lalu. Kami bercita-cita untuk memenangi kejuaraan dunia dan sekarang kami berada di sini.

"Terima kasih kepada semua dalam pasukan Red Bull Racing dan Honda Racing F1 yang menyediakan saya jentera luar biasa untuk meraih pencapaian ini. Anda semua sangat luar biasa dan Sergio Perez, anda sangat bernafsu.

"Kepada semua keluarga dan rakan-rakan saya, terima kasih di atas sokongan selama bertahun-tahun. Saya tidak dapat melakukannya tanpa anda semua.

"Sekarang saya mahu menikmati kejayaan ini. Kepada Orange Army anda semua sekali lagi sangat luar biasa. Saya harap anda semua juga menikmati kejayaan ini seperti saya," kata Verstappen.

Verstappen meraih kejuaraan sulung apabila memenangi perlumbaan di Abu Dhabi selepas dua protes daripada pasukan Lewis Hamilton, Mercedes ditolak.

Ia seperti Hamilton berada di landasan tepat untuk meraih kejuaraan dunia kali kelapan, namun Verstappen menggunakan kesempatan di atas kemalangan membabitkan Nicholas Latifi untuk baki satu pusingan yang penuh mendebarkan.

Verstappen dan Hamilton, yang memulakan perlumbaan dengan pungutan mata sama, menyambung perlumbaan pusingan terakhir di kedudukan sebelah-menyebelah namun pelumba Red Bull berusia 24 tahun itu berjaya memintas sebelum memecut laju untuk menuju garisan penamat terlebih dulu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Disember 2021 @ 10:41 AM