LEWIS Hamilton. FOTO EPA
LEWIS Hamilton. FOTO EPA
Agensi

London: Lewis Hamilton dijangka memperoleh bonus sebanyak £4 juta (RM22.3 juta) jika dia memenangi gelaran juara dunia Formula Satu (F1), esok.

Pemandu Mercedes itu sedang memburu gelaran dunia kelapan sekali gus membolehkannya mengatasi rekod Michael Schumacher.

Ketika ini, dia menyamai rekod legenda Jerman, Schumacher selaku pemandu yang memenangi tujuh kejuaraan dunia.

Hamilton memperoleh pendapatan £40 juta (RM223.5 juta) setahun bersama Silver Arrows tetapi berpeluang untuk memperoleh bonus jika dapat menewaskan Max Verstappen pada pusingan terakhir musim ini.

Hamilton yang diletakkan dalam senarai kelapan bintang sukan menerima pendapatan tertinggi oleh Forbes, baru menjual apartment mewahnya di New York bernilai £37 juta (RM206.7 juta) meskipun tidak pernah tinggal di situ.

Jika dia mengesahkan kejuaraan dunia esok, Hamilton juga dapat memberi ganjaran bonus kepada kakitangan Mercedes.

Seramai 1,000 pekerja di ibu pejabat dekat Brackley serta 750 lagi kakitangan di Brixworth dijangka memperoleh bonus kemenangan sekurang-kurangnya £10,000 (RM55,800) seorang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 10:19 PM