VERSTAPPEN tidak gentar dengan pengalaman yang dimiliki Hamilton menjelang perlumbaan GP Arab Saudi. FOTO AFP
VERSTAPPEN tidak gentar dengan pengalaman yang dimiliki Hamilton menjelang perlumbaan GP Arab Saudi. FOTO AFP
AFP

Jeddah: Max Verstappen menolak tanggapan bahawa pengalaman Lewis Hamilton dalam mengejar gelaran akan memberikannya kelebihan pada perlumbaan sulung Grand Prix (GP) Arab Saudi hujung minggu ini.

Pemandu Belanda berusia 24 tahun itu, yang berkelebihan lapan mata di depan ketika berbaki dua perlumbaan musim ini, berkata dia tidak percaya pengalaman juara dunia tujuh kali itu boleh mendatangkan perbezaan.

Pemandu Red Bull itu menjangkakan jaguh dari Britain berusia 36 tahun itu akan terus meningkat dalam kariernya tetapi menegaskan dia gembira bersaing dengan pemandu Mercedes itu.

"Saya rasa ia semula jadi, sudah tentu, apabila anda berada pada tahap itu dalam karier, anda lebih bersedia berbanding pada musim pertama atau kedua, apabila Lewis bertarung untuk gelaran pertamanya.

"Saya rasa ia kemajuan yang normal. Maksud saya, saya rasa lebih bersedia dan lebih berpengalaman berbanding ketika mula-mula menceburi Formula Satu (F1)

"Jadi, saya tidak rasa ia akan mendatangkan perbezaan besar melainkan ia sudah ditunjukkan sepanjang musim.

"Sebagai seorang pemandu, anda akan terus belajar walaupun sudah berusia 30, 35, 40. Anda belajar menerusi pengalaman.

"Secara semula jadi anda jadi pantas, anda mungkin tahu atau faham bagaimana mengendalikan sesuatu situasi, atau bersedia lebih baik - ini perkara normal," katanya.

Selepas Hamilton mengumumkan dia tenang dan bersedia, Verstappen juga melakukan perkara sama ketika menerima soalan daripada wartawan di Litar Jeddah Corniche.

Dia mengelak semua soalan boleh mencetuskan kontroversi dan mendedahkan tiada satu pun gaya kasar pemanduannya menggambarkan karier awalnya dalam F1.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 1:27 PM