FRANK Williams. FOTO Agensi
FRANK Williams. FOTO Agensi
AFP

London: Frank Williams yang menyaksikan pasukannya mendominasi saingan Formula Satu (F1) sekitar 1980-an dan 1990-an, meninggal dunia pada usia 79 tahun, semalam.

Pasukan Williams memenangi kejuaraan pemandu sebanyak tujuh kali dan kejuaraan pengeluar sembilan kali di bawah seliaannya dengan kebanyakan kejayaan itu adalah pada 1997.

Beliau berundur daripada lembaga pengarah pasukan F1 Williams pada 2012 dan keluarganya menamatkan pembabitan selama 43 tahun bersama pasukan itu tahun lalu selepas pasukan berkenaan dijual kepada Dorilton Capital.

Williams menggunakan kerusi roda sejak mengalami kecederaan susulan terbabit dengan kemalangan di Perancis pada 1986.

"Pasukan Williams Racing berdukacita atas pemergian pengasas kami, Sir Frank Williams," kata pasukan itu dalam satu kenyataan.

"Sir Frank adalah seorang legenda dan ikon dalam sukan ini. Pemergiannya menandakan berakhirnya era untuk pasukan kami dan sukan Formula 1. Dia seorang yang baik dan perintis sejati.

"Walaupun mengalami kesukaran dalam hidupnya, dia membawa pasukan meraih 16 kejuaraan dunia dan menjadikan kami salah satu pasukan paling berjaya dalam sejarah sukan ini."

Damon Hill yang muncul juara dunia pada 1996 bersama Williams berkata, Frank Williams akan sentiasa diingati dalam sejarah F1.

"Satu-satunya individu yang boleh saya buat perbandingan dengannya adalah Enzo Ferrari. Dia seorang yang sangat meminati Formula Satu dan perlumbaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 11:02 AM