HAFIZH menunjukkan reaksi gembira bakal menmang cahaya mata. FOTO IG Hafizh Syahrin
HAFIZH menunjukkan reaksi gembira bakal menmang cahaya mata. FOTO IG Hafizh Syahrin
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Suami mana yang tidak gembira jika mendapat tahu isterinya hamil apatah lagi anak sulung. Itulah yang mungkin dirasai pelumba motosikal negara, Hafizh Syahrin Abdullah yang dijangka menimang cahaya mata pertama tidak lama lagi.

Buat kali pertama, Hafizh menayangkan di laman Instagram keadaan isterinya Noor Suzana Abdul Manaf yang sarat mengandung ketika singgah bercuti di London selepas bertanding pada Kejuaraan Motosikal Grand Prix Valencia di Sepanyol hujung minggu lalu.

Hafizh, 27, berkahwin dengan Suzana, seorang model pada Disember 2017. Selepas berkahwin, isterinya sering menemani Hafizh ketika perlumbaan dan bertindak sebagai 'umbrella girl' yang menarik perhatian ramai kerana mengenakan pakaian wanita Muslimah berhijab.

"You + Me = Three, Alhamdulillah" tulis Hafizh ringkas dalam hantaran terbaharu di media sosial yang dihujani dengan ucapan tahniah daripada rakan, peminat dan warganet.

Ia juga pasti menceriakan Hafizh yang akan beralih ke Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) musim depan bersama pasukan satelit Honda, MIE Racing.

Selepas empat musim dalam Moto2, Hafizh berlumba kelas perdana MotoGP apabila ditawarkan tempat dalam pasukan Tech3 Yamaha pada 2018 selepas Jonas Folger terpaksa menarik diri daripada pasukan itu kerana tidak sihat dan kekal bersama pasukan Perancis itu yang beralih menggunakan jentera KTM pada 2019.

Bagaimanapun, satu lagi musim yang sukar dalam kelas perdana menyaksikan Hafizh kembali ke Moto2 pada 2020 bersama pasukan Aspar dan tahun ini dia menyertai pasukan berpangkalan di Belanda, RW Racing.

Pada perlumbaan akhir musim di Valencia hujung minggu lalu, Hafizh berjaya mengutip satu mata apabila menghuni tangga ke-15. Ia membolehkannya mengumpul sembilan mata keseluruhan musim ini selepas pencapaian terbaik tangga kesembilan di Mugello dan ke-15 di Le Mans, kedua-duanya Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 12:01 PM