HAMILTON sedia pamerkan aksi mendebarkan di GP Budapest. FOTO AFP
HAMILTON sedia pamerkan aksi mendebarkan di GP Budapest. FOTO AFP
AFP

Budapest: Lewis Hamilton berkata dia bersedia mengulangi aksi kontroversinya ketika memintas Max Verstappen yang menyebabkan pendahulu kejuaraan itu terbabas di Grand Prix (GP) British awal bulan ini.

Verstappen yang juga pemandu dari Belanda terpaksa dibawa ke hospital manakala juara dunia tujuh kali itu merapatkan jurang kepada lapan mata menjelang GP Hungary.

"Daripada segi cara saya memotong itu, saya akan lakukannya sekali lagi. Saya rasa, perlumbaan yang sengit adalah yang paling menarik, sejak saya membesar dari era go kart.

"Perkara paling menarik dalam sukan pemotoran ialah apabila anda melihat perlumbaan sengit.

"Kini dua pasukan begitu setanding daripada segi prestasi," kata Hamilton yang memburu kemenangan ke-100 dalam kariernya pada Ahad ini.

Verstappen menganggap tindakan Hamilton sangat kurang ajar dan tidak mempunyai semangat kesukanan ketika kedua-duanya berlanggar sesama sendiri di GP British.

Hamilton cuba untuk memintas Verstappen di selekoh Copse di pusingan pertama namun jentera mereka bergesel antara satu sama lain, menyebabkan pemandu Red Bull terbabas sebelum melanggar penghadang.

Hamilton memenangi perlumbaan berkenaan, manakala Verstappen dikejarkan ke hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 1:12 PM