Pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah.
Pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah.
Oleh Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Sudah lama memendam rasa akhirnya pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah 'meletup' selepas tidak berpuas hati apabila dia terpaksa menjalani kuarantin di hotel dalam tempoh seminggu selepas pulang dari luar negara.

Bukannya tidak mahu mengikut peraturan, namun tindakan kuarantin atlet yang baru pulang dari luar negara walaupun sudah melakukan ujian calitan dan mengambil suntikan vaksin Covid-19 ternyata membuang masa sekali gus mengganggu persediaan mereka menyertai kejohanan seterusnya.

Perkara terbabit disuarakan Hafizh menerusi Instagram miliknya yang turut mempersoalkan kewajaran tindakan itu akan menyebabkan atlet hanya akan tidur dan makan sepanjang berada di hotel.

"Tak tahu nak kata apa, sekejap boleh, selepas itu tak boleh. Ada vaksin dan swab test (ujian calitan) jangan cakaplah sudah berpuluh kali tapi sayang benda ini semua tiada value (harga).

"Best (seronok) tengok racer(pelumba) lain balik saja terus berlatih tak ada kuarantin sebab mereka sudah buat swab test dan negatif sebelum balik ke negara.

"Sebab itu, kebanyakan atlet luar negara lebih berjaya daripada kita kerana negara mereka faham situasi atlet masing-masing.

"Campak atlet dekat hotel, kuarantin lepas itu ada game (kejohanan) pada minggu depan apa sangat atlet boleh buat dalam hotel seminggu..tidur makan sajalah jawabnya...jika di rumah sekurangnya ada peralatan untuk berlatih," katanya.

Selain itu, pelumba negara itu juga berkata, dia bukannya mahukan layanan seperti kenamaan (VIP) cuma cukup memahami situasi dan keadaan semasa atlet yang mempunyai jadual padat.

"Kita tidak minta pun dilayan seperti golongan atasan atau pun raja namun ada kelonggaran atlet boleh berlatih atau kuarantin di rumah.

"Tujuan balik bukannya untuk berhibur cuma di Eropah kosnya terlalu tinggi. Bila kita tidak perform, atlet juga kena 'tembak' kerana tidak bagus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 7:05 AM